• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

10 termasuk tetamu VIP dikhuatiri maut, pesawat terhempas di Shah Alam

Aug 17, 2023
Spread the love

Sepuluh individu termasuk seorang tetamu kenamaan dikhuatiri maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina di Seksyen U16, di sini, tadi.

Mereka mangsa terlibat terdiri lapan individu menaiki pesawat ringan berkenaan selain dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal dan kereta.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohamad Shoki Hamzah berkata, masing-masing seorang penunggang motosikal dan pemandu kenderaan maut selepas dirempuh pesawat ringan berkenaan.

“Operasi masih berjalan dan identiti kesemua mangsa masih belum dapat dipastikan,” katanya secara ringkas.

Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, pesawat itu dipercayai Fouga CM-170 Magister dinaiki lapan individu yang mana salah seorangnya dipercayai orang kenamaan (VIP).

Pesawat ringan berkenaan dipercayai telah berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Subang.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan insiden pesawat ringan yang dipercayai terhempas di laluan masuk ke kawasan kediaman Elmina berhampiran Lebuhraya Guthrie, di sini, tadi.

Difahamkan model pesawat itu dipercayai Fouga CM-170 Magister dan kejadian berlaku tidak jauh daripada landasan Lapangan Terbang Subang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, maklumat awal pihaknya mendapati pesawat ringan itu dinaiki enam penumpang serta dua juruterbang dari Pulau Langkawi menghala ke Subang.

“Pesawat itu berlepas pada pukul 2 petang dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Subang.

“Buat masa ini kesemua individu dalam pesawat itu dikhuatiri maut. Kita sedang mengenal pasti kesemua identiti mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya sekurang-kurangnya seorang penunggang motosikal yang melalui lokasi kejadian dipercayai maut akibat kejadian itu.

“Bagaimanapun, kita sedang menyiasat jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat,” katanya.-UTUSAN