Johor Bahru: Kira-kira 100 bas yang dianggarkan membawa 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh daerah berlepas ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pagi ini untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT Mohd Fadzli Sapie berkata, penyokong tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan skuad Harimau Selatan menentang Terengganu FC (TFC), malam ini.
Beliau berkata, kelab itu menyediakan 12 bas bagi membawa penyokong dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, di sini yang berlepas, 8 pagi tadi.
“Di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) sahaja kita menyediakan 12 bas dengan 455 penyokong… di Stadium Sultan Ibrahim (Iskandar Puteri) pun ada juga bagi membawa penyokong Boys Of Straits.
“Begitu juga penyokong di Muar, Segamat dan Tangkak… saya anggarkan lebih kurang 100 bas dari Johor ke Stadium Nasional Bukit Jalil pagi ini,” katanya kepada Bernama di pekarangan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, hari ini.
Mohd Fadzli berkata, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya telah bermesyuarat dengan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan langkah keselamatan penyokong.
“Semua penyokong telah diberikan taklimat selepas kita dapat prosedur operasi standard (SOP) daripada MFL.
“Kita mahu elak provokasi dan perkara yang menimbulkan kemarahan, malah SOP untuk masuk stadium pun kita tekankan. Bagi saya penyokong JDT sangat berdisiplin tentang SOP dan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, rata-rata penyokong tegar JDT yakin trofi Piala FA akan menjadi milik pasukan itu.