KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sehingga 28 April 2023, sebanyak 132 kes pertussis (batuk kokol) dengan dua kematian dilaporkan di seluruh Malaysia.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan kes sebanyak 73.3 peratus berbanding tempoh sama sebelum pandemik Covid-19 iaitu sehingga 28 April 2019, dengan 495 kes dicatatkan.
Beliau berkata, daripada 132 kes pertussis yang dilaporkan, 89 kes atau 67.4 peratus adalah warganegara manakala 43 kes atau 32.6 peratus lagi bukan warganegara.
“Bayi berusia bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes (50.8 peratus).
“Kanak-kanak berusia antara setahun hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes (35.6 peratus) dan selebihnya berusia 11 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata, pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis yang menyebabkan jangkitan mulut, hidung dan tekak serta tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.
Menurutnya, bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti, namun ia juga boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia terutamanya golongan rentan dan rendah imuniti.
Beliau berkata, gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan ia boleh berlarutan sehingga dua bulan.
“Imunisasi merupakan langkah pencegahan pertussis yang berkesan. Di Malaysia, vaksin pertussis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.
“Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes pertussis di negara ini adalah dalam kalangan bayi berusia kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima kerana masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis.
“Justeru KKM sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil.
“Ibu hamil yang menerima vaksin pertussis ini dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan,” katanya.