SHAH ALAM, Sejumlah 1,335 kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran bau yang dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, ia membabitkan lapan wilayah iaitu Petaling (370 kawasan); diikuti Gombak (279); Hulu Selangor (28); Klang dan Shah Alam (189); Kuala Langat (3); Kuala Lumpur (186) dan Kuala Selangor (280),” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Menurutnya, insiden itu turut mengakibatkan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 terpaksa dihenti tugas
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau seperti diesel di muka sauk LRA Rantau Panjang, jam 9.45 malam.
LUAS berkata, pengepaman air daripada HORAS 600 dan kolam alternatif Kuala Lumpur – Larut sebanyak 836 JLH sudah diaktifkan bermula pada 10 malam.
Selain itu, pintu baraj di muka sauk LRA juga sudah diturunkan bagi meningkatkan pencairan dan membolehkan aliran pencemaran mengalir melepasi muka sauk LRA dengan segera.