• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

200 ahli hadir iftar PAS Kawasan Shah Alam

Apr 14, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 15 APRIL 2023 – Program iftar atau berbuka puasa PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) dihadiri kira-kira 200 orang ahli di Dewan an-Nabawi, Islamic City Seksyen U12.

Program yang bermula jam 6.30 petang tersebut dianjurkan oleh PKSA yang melibatkan Ahli Jawatan Kuasa kawasan, Dewan-dewan dan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Menurut pengarah program, Ustaz Muhammad Amir Yahaya yang juga Timbalan Yang Dipertua, program tersebut diadakan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli di samping menghidupkan baki amal Ramadhan secara jama’i.

Program julung kali yang melibatkan kepimpinan baharu bersama ahli parti tersebut turut diisi dengan ucapan YDP PKSA, penyerahan sijil keahlian baharu dan taujihat pimpinan PAS Pusat.

Hadirin juga bersama-sama menunaikan solat secara berjamaah termasuklah Tarawikh dan Witir yang diimamkan oleh Ustaz Abu Aif Khalid, Ketua Lajnah Dakwah dan Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim, Ketua Pemuda.

Ust Mohamed Sukri Omar selaku YDP dalam ucapannya menyeru ahli meningkatkan amal Ramadhan dan ukhuwah dengan satu fikrah, di samping bersifat ikhlas sebagai aset dalam ketumbukan organisasi.

YDP turut mengingatkan eleman wehdah, pergantungan kepada Allah SWT dan ketaatan kepada kepimpinan jamaah adalah faktor kemenangan umat Islam dalam medan Badar ketika berpuasa, walaupun bilangan mereka kecil.

Taujihat pimpinan pula disampaikan oleh Hj. Kamaruzaman Mohamad, AJK Kerja PAS Pusat. Beliau menghuraikan ciri-ciri ahli jemaah Islam berdasarkan Surah al-Saf yang perlu dihayati ahli.

Beliau turut menekankan kepimpinan dalam jamaah bukanlah milik individu dan anugerah syurga bukanlah atas faktor jawatan yang digalas. Justeru, semua ahli diseru memperbetulkan niat bersama jamaah kerana Allah SWT.

Program tersebut turut dihadiri AJK PKSA yang lengkap berpakaian Melayu yang kemudiannya mengambil peluang untuk rakaman Takbir Raya dan ucapan Eidul Fitr.

Majlis berakhir kira-kira jam 11.30 malam.