• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

20,000 penduduk Kampung Telok Gong mohon naik taraf jalan

Mar 24, 2023
Spread the love

KLANG, 24 MAC 2023 – Keresahan itu susulan jumlah kenderaan berat semakin banyak menggunakan laluan sama yang turut mengorbankan Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, kelmarin.

Keresahan itu susulan jumlah kenderaan berat semakin banyak menggunakan laluan sama yang turut mengorbankan Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, kelmarin.

Tinjauan mendapati laluan dua hala itu sesak dengan kenderaan termasuk puluhan lori dan treler melaluinya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail berkata, 58, keadaan jalan sepanjang tujuh kilometer itu masih sama sejak sekian lama sedangkan jumlah kenderaan berat kian meningkat.

“Selain menaik taraf jalan sedia ada, kami memohon bonggol dan pemutus kelajuan dibina bagi mengelak pengguna memandu laju terutama kenderaan berat.

“Masa operasi kenderaan berat menggunakan laluan itu juga perlu dihadkan terutama ketika waktu puncak,” katanya ketika ditemui selepas menyertai bantahan aman di kampung itu, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk menyerahkan memorandum bantahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berdekatan lokasi kemalangan menimpa Nurul Jannatun Assyifa.

Kelmarin, murid perempuan itu maut akibat digilis treler manakala adiknya, Alif Zahfran, 7, dan pengasuh wanita berusia 54 tahun cedera dalam tragedi kira-kira pukul 11.30 pagi ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai sesi persekolahan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.

Lebih memilukan, Nurul Jannatun Assyifa tidak sempat memakai baju kurung baharu yang dibeli bapanya bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Bagi penduduk, Kahar Jaafar, 58, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk pemandu kenderaan berat yang menggunakan laluan itu.

“Namun, faktor kemalangan yang agak kerap berlaku sehingga dipercayai mengorbankan 20 nyawa perlu dielak daripada berlarutan. Bagi saya, semua pihak perlu lebih berwaspada menggunakan laluan itu dan tidak bersikap mementingkan diri dengan memandu laju sehingga berlaku kemalangan,” ujarnya yang menetap di kampung itu sejak 50 tahun lalu.

Sementara itu, Azmizam berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan secara terperinci dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Memang diakui laluan kampung itu sentiasa sesak dengan kenderaan berat dan mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati,” tegasnya.