TIGA NEGERI TIDAK BUBAR DUN BERI PETANDA PAS RASIONAL DAN BERPRINSIP DEMI RAKYAT
PAS telah beri petanda untuk pembubaran DUN pada tahun hadapan lebih awal lagi dengan alasan utama bagi memberikan perhatian kepada persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh hujung tahun ini. Namun sangat mengejutkan tatkala baru sahaja beberapa hari Pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen, tiba-tiba sahaja Perdana Menteri mengumumkan Pembubaran Parlimen sekaligus mengheret PRU15 pada hujung tahun ini.
Pembubaran Parlimen secara tergesa-gesa dilihat sebagai satu tindakan terdesak UMNO yang mengutamakan kepentingan parti dan pemimpin-pemimpinnya. Hasil tinjauan dan kaji selidik pandangan rakyat mendapati 81% menolak PRU15 diadakan hujung tahun ini. Sesungguhnya keputusan pembubaran Parlimen dilihat membelakangkan kehendak dan keperluan rakyat pada masa kini.
Begitupun ia tidak sedikit menggoyahkan keputusan awal PAS untuk tidak membubarkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Keputusan ini dilihat sebagai menghormati kehendak pengundi untuk memberikan keutamaan kepada keperluan dan kebajikan rakyat yang perlu diutamakan.
Bagi pihak kakitangan kerajaan, hujung tahun adalah waktunya untuk melihat dan menyempurnakan segala KPI yang telah dirancang awal tahun dengan baik dan teliti. Belanjawan negeri akan dibentangkan seterusnya memastikan ia segera diagihkan dengan baik kepada setiap genap lapisan untuk menghadapi tahun hadapan dengan lebih semangat dan bersedia.
Bagi pihak rakyat hujung tahun telah tersedia perancangan dan takwim perayaan yang perlu disambut seperti Deepavali, Krismas dan Tahun Baru. Cuti-cuti yang perlu dihabiskan dengan luangan masa bersama keluarga. Begitu juga persediaan persekolahan jika perlu. Begitulah adatnya rakyat Malaysia di hujung tahun.
Namun paling menjadi keutamaan kepada seluruh rakyat Malaysia ialah dengan ramalan cuaca yang akan membawa kepada bencana banjir mengundang kepada kebimbangan seluruh rakyat. Kerana itulah mendorong sikap prihatin DYMM YDPA mencemar duli turun untuk melihat sendiri sejauhmana agensi-agensi berkaitan membuat persediaan dan persiapan bagi menghadapi bencana banjir.
Atas alasan-alasan inilah PAS berpendirian untuk tidak membubarkan DUN demi memastikan setiap jentera kerajaan dan NGO dipersiap siagakan untuk membantu rakyat pada tahap optimum.
PAS khuatir jika kelak berlaku sesuatu yang tidak diingini akan turut sama merasa bertanggungjawab. Begitulah PAS dan rakyat dekat berpisah tiada.
PAS adalah parti rakyat, daripada rakyat dan kepada rakyat. Atas prinsip inilah PAS tidak mudah didesak dan dipaksa oleh parti lain seperti UMNO untuk membubarkan DUN secara semberono tanpa mengikut pertimbangan waras dan rasional.
Jika alasan BN mengadakan dua kali pilihanraya adalah sesuatu yang membazirkan duit rakyat maka di manakah hati perut dan akal fikiran UMNO ketika membubarkan DUN Johor dan Melaka yang masih belum cukup tempohnya sedangkan kuasa telah mereka miliki jika tidak kerana tidak puas hati kerana berkongsi kuasa. Rakus kuasa sudah sebati dalam UMNO.
Pendirian terkini PAS untuk tidak membubarkan DUN bukanlah langkah pembaziran duit rakyat sebagaimana yang dicanang UMNO dan BN. PAS bukan parti yang boleh didesak, dipaksa dan dibuli untuk menuruti cara dan kaedah serta langkah songsang UMNO yang membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Jika UMNO dan BN riang ria membuka markas-markas untuk berkempen dan berpilihanraya silakan. Biarkan PAS dan rakyat hadap banjir dan hadap segala kemungkinan, begitu pun jangan khuatir PAS akan tetap berikan tentangan terbaik bersama-sama rakyat dalam PRU15 nanti.
Namun tidaklah pula sesuatu yang mustahil jika PAS kembali mengubah pendirian sekiranya ada desakan rakyat untuk membubarkan DUN, sebagaimana yang tertulis di awalnya PAS adalah parti rakyat, daripada rakyat dan kepada rakyat. Prinsip utama PAS adalah KEBAJIKAN RAKYAT SEJAHTERA.
Ditulis oleh
THORIQ MISHARY