• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

3 Peguam tarik diri, bicara bela diri Siti Bainun tangguh

Jan 16, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Perbicaraan peringkat bela diri membabitkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan sehingga esok selepas tiga peguam belanya menarik diri.

Peguam belanya, Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor memaklumkan tindakan itu kerana kekangan masa, tidak dapat menyesuaikan tarikh-tarikh perbicaraan seperti ditetapkan mahkamah dan pertindihan jadual.

“Saya tidak akan dapat meneruskan pembelaan ini kerana saya tidak boleh bertindak sendirian tanpa pasukan selepas dimaklumkan dua peguam telah menarik diri malam tadi. Bila isu ini timbul, ia telah menjejaskan jadual kerja kami,” katanya.

Sementara itu, Siti Bainun berkata, dia hanya mengetahui mengenai penarikan diri peguam-peguamnya pada pagi tadi atas alasan kekangan masa selain jadual peguam lain bertindih.

“Tetapi, saya tidak tahu mengenai hal ini (tarik diri). Saya akan cuba dapat bantuan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau meminta bantuan mencari peguam yang lain,” jawabnya selepas ditanya oleh Hakim Izralizam Sanusi.

Selain Nur’Aminahtul Mardiah, turut menarik diri ialah Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Rafiz yang memaklumkan mengenai perkara itu melalui surat surat bertarikh 13 Januari lalu.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan supaya Siti Bainun hadir ke mahkamah esok bagi memaklumkan sama ada dia telah melantik peguam baharu atau mendapatkan bantuan daripada YBGK.

Selain itu Izralizam turut mengarahkan dua lagi peguam bela Siti Bainun untuk hadir ke prosiding esok.

“Dalam rekod mahkamah, masih ada peguam belum membuat permohonan iaitu Hafidzah Hassan dan Asiah Abd. Jalil. Ada surat yang dihantar (mereka) tetapi tidak menyatakan pendirian jelas (mengenai) menarik diri. Jadi saya kena minta mereka menyatakan pendirian mengenai status mereka dahulu,” kata hakim itu.

Izralizam memutuskan demikian setelah mendengar permohonan untuk menarik diri tersebut.

Sebelum mengakhiri prosiding, hakim itu berkata permohonan menarik diri pada saat akhir telah menjejaskan kelancaran proses perbicaraan Siti Bainun kerana tarikh bicara telah ditetapkan lebih awal.

“Mahkamah akur, namun mengambil berat akan hal ini kerana telah menetapkan tarikh lebih awal. Jika ada ada masalah sila buat permohonan lebih awal kerana ini melibatkan kes jenayah. Permohonan patut dibuat di mahkamah terbuka.

“Dari mula lagi pendirian saya lebih suka pihak-pihak yang memberi kerjasama baik supaya berjalan lancar. Cuma, saya akan rekodkan permohonan penarikan diri atas sebab tarikh yang telah diberi awal yang mana peguam sedia maklum, tetapi pada saat akhir menarik diri,” katanya hari ini.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan, mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN