5 Ramadhan: Tiada Taat Untuk Maksiat
لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ
“Tiada taat dalam (perkara) maksiat.”
- Hadith riwayat al-Bukhari no. 7257, 7145 & 4340 dan Muslim no. 1840 daripada ‘Ali bin Abi Talib RA. Kedua-dua riwayat terdapat penambahan di hujungnya (إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ) – ‘Sesungguhnya (kewajipan) taat (hanya) pada (perkara) kebaikan’.
- Perawi hadith ini, ‘Ali bin Abi Talib RA menceritakan Rasulullah SAW telah mengutus sepasukan tentera dan melantik seorang lelaki Ansar sebagai pemimpin dan menyuruh mereka memberikan ketaatan kepadanya. Dalam tugasan, tiba-tiba pemimpin tentera itu marah dan memerintahkan mereka mengumpulkan kayu lalu dinyalakan api. Beliau mengarahkan mereka masuk ke dalam api. Ketika sebahagian mereka hendak masuk, api tiba-tiba padam dan kemarahan beliau pun hilang. Perkara itu diceritakan kepada Nabi SAW lalu Baginda SAW bersabda kepada mereka yang hendak masuk ke dalam api, ‘Jika kamu masuk ke dalamnya, kamu kekal dalamnya hingga hari kiamat’. Kemudian disabdakan kepada sebahagian yang lain seperti teks hadith di atas. Lelaki itu dikatakan bernama ‘Abdullah bin Huzaifah al-Sahmi yang hendak menguji tentera pimpinannya (al-Minhaj 8/59 & Fath al-Bari 12/227). Jika tentera itu masuk ke dalam api tersebut, nescaya mereka membunuh diri, iaitu suatu maksiat dan dosa besar yang dilarang serta berhak tempatnya dalam neraka.
- Hadith ini menjelaskan persoalan taat. Al-Bukhari meletakkannya pada Bab (السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ لِلْإِمَامِ مَا لَمْ تَكُنْ مَعْصِيَةً) – ‘Dengar dan Taat kepada Pemimpin Selagi Bukan Perkara Maksiat’ sementara Muslim pada Bab (وُجُوبِ طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ فِي غَيْرِ مَعْصِيَةٍ، وَتَحْرِيمِهَا فِي الْمَعْصِيَةِ) – ‘Wajib Taat Pemerintah Pada Bukan Maksiat dan Haram (Taat) Pada Maksiat’. Justeru, hadith ini menjelaskan kewajipan taat kepada kepimpinan Islam dalam perkara kebaikan dan haram mematuhinya dalam perkara maksiat.
- Dalam al-Qur’an, ketaatan kepada perintah atau larangan Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah mutlak, tidak boleh disanggah, namun sebaliknya bagi orang lain (al-Nisa’, 59). Ini termasuklah ketaatan kepada pemerintah, pemimpin termasuklah ibu bapa dan suami adalah muqayyad, tertakluk kepada perintah atau larangan tersebut bertepatan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta bukan dalam perkara maksiat.
- Justeru, setiap muslim wajib mentaati para pemerintah Islam dalam apa jua perkara sama ada disukai atau dibenci selagi ia bukan berbentuk munkar dan maksiat kepada Allah SWT. Selain itu, pemimpin Islam perlu mengikut syariat dalam kepimpinannya serta tidak membuat sesuatu keputusan dalam keadaan marah.
Dr. Najahudin Lateh
5 Ramadhan 1443