SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tanggal 19 November 2022 sebagai tarikh penting buat seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas memuktamadkan pemimpin pilihan mereka. Malah,tarikh penamaan calon telah ditetapkan pada 5 November ini dan pengundian awal pula pada 15 November.
PRU15 diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, 42 kerusi DUN Pahang, 59 kerusi DUN Perak dan N66 DUN Bugaya, Sabah melibatkan 21,173,638 orang pemilih.
Perak menjadi tumpuan pada PRU15 kali ini apabila menyaksikan pertembungan nama-nama besar dalam politik negara. Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi di kerusi kuatnya di Bagan Datuk, manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Tambun sebagai langkah mencabar status quo beliau dalam rangka mewujudkan ‘Corridor of Hope‘.
Tidak hairanlah mengapa kebanyakan para penganalisis politik negara menyatakan bahawa PRU15 sebagai ‘the mother all elections‘ kerana pilihan raya kali ini adalah penentuan pilihan rakyat selepas ketidaktentuan politik (tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal) dan kegawatan ekonomi yang memuncak dalam tempoh dua tahun lalu berikutan penularan wabak COVID-19.
Turun mengundi merupakan asas penting dalam sistem demokrasi, kerana dengan undian seseorang boleh menjadi ADUN dan Ahli Parlimen yang menjadi penggubal dasar dan polisi dalam sebuah negeri atau negara.
ADUN dan Ahli Parlimen yang menentukan sesebuah rang undang-undang diluruskan atau tidak melalui undian mereka.
1. PRU15 adalah undi anak muda.
Lebih 20 juta rakyat Malaysia dijangka keluar mengundi, dengan belia Malaysia (berumur 18-29 tahun) kini menjadi blok pemilih terbesar.
Menurut data SPR, pengundi muda dari umur 18-29 tahun adalah sebanyak 6,007,978 iaitu merangkumi 28.6 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar. Asas pengundi layak negara meningkat hampir 50 peratus untuk PRU15 berbanding hampir 15 juta pada PRU14.
Ini berikutan pewartaan Undi18, yang membenarkan semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mengundi. Sebagai blok pemilih terbesar, pilihan anak muda akan menjadi representasi untuk politik Malaysia secara keseluruhannya.
2. Boikot bererti satu undi kepada orang yang salah.
Anak muda tidak boleh memilih untuk boikot pilihan raya kali ini.
Biarpun pertelingkahan ahli politik lama terkadang membuatkan anak muda merasa mual terhadap politik, namun memilih untuk boikot bersamaan dengan mengundi.
Satu undi yang ditinggalkan bererti anak muda memberi satu undi tambahan untuk kemenangan orang yang salah. Sudah pasti anak muda tidak mahu orang yang salah, yang terlibat dan kes salah laku dan rasuah memimpin anak muda.
Sebagaimana yang pernah disebutkan oleh William E Simon;
“Bad politicians are sent to Washington by good people who don’t vote.”
3. Undi penentu hala tuju.
Undi kita akan menentukan siapa kerajaan yang akan mentadbir dan mencorakkan masa depan negara.
Jangkaan kelembapan ekonomi global pada 2023 memerlukan kepada sebuah kerajaan yang prihatin kepada kehendak kita sebagai anak muda yang baru mula menapak dalam cabaran kehidupan.
Apatah lagi hari ini kita berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat naik.
Tanpa sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil, nescaya nasib kita akan terabai.
Oleh itu dengan satu undi jadi penentu hala tuju negara dan nasib kita sebagai anak muda.
4. Undi selamatkan negara daripada rasuah.
Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan yang sewajarnya.
Bahkan, rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran seterusnya membawa kepada ketidakstabilan politik. Ini antara kenyataan yang dititahkan Sultan Nazrin Shah.
Indeks Persepsi Rasuah Negara mula meningkat semenjak beberapa kes rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB dan sebagainya mendapat liputan antarabangsa.
5. Undi menolak kumpulan perosak.
Satu undi akan menentukan apakah perkara-perkara asas Perlembagaan terus teguh atau sedikit demi sedikit diuraikan pihak berkepentingan.
Kita tidak mahu suara-suara yang mengangkat agenda kesaksamaan gender melangkaui batasan agama, LGBTQ, ICERD, pluralisme agama mula mendominasi Dewan Rakyat.
Satu undi kita bakal menentukan pola pengundian isu-isu sebegini apabila kelak dibentangkan dan digubal.
Sewajarnya kita meneliti pesanan mantan Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan;
“Muslim yang tidak pedulikan politik akan dipimpin oleh orang politik yang tidak pedulikan Islam.”
Justeru, anak muda seharusnya mengambil peluang ini untuk memastikan PRU15 ini menjadi medan memuktamadkan pilihan terbaik kerana untuk menggubal polisi dan dasar pentadbiran yang bersih dan berintegriti memerlukan pemimpin terbaik yang mengutamakan agenda rakyat.
FARHANA OMAR
Pengarah Ameerah Perak
Ahli Jawatankuasa Pemuda PERIKATAN NASIONAL Perak