• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

8,000 doktor KKM dijangka letak jawatan bulan ini

Apr 2, 2023
Spread the love

Sekumpulan doktor kontrak memberi amaran bahawa lebih 3,000 daripada mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan (KKM), akan meletakkan jawatan bulan ini setelah masing-masing menerima keputusan temu duga jawatan tetap.

Jurucakap Hartal Doktor Malaysia berkata sebanyak 87 peratus doktor kontrak tidak ditawarkan jawatan tetap.

Mereka akan kekal dalam kontrak dan dinafikan kelayakan untuk banyak faedah lain termasuk pencen, katanya.

Malah, jurucakap itu berkata gaji mereka jauh lebih rendah berbanding doktor yang berjawatan tetap kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, walaupun tanggungjawab mereka adalah sama.

“Doktor kontrak tidak layak untuk program induk, dan tidak ada kriteria yang jelas dan telus untuk pemilihan ke jawatan tetap.

“Doktor kontrak juga tidak mempunyai cuti belajar, cuti tanpa gaji dan lain-lain. Terdapat banyak faedah yang kami dinafikan. Tidak ada pencen juga,” kata jurucakap itu menurut NST.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Hartal Doktor Malaysia merancang mogok tiga hari dari 3 hingga 5 April ini.

Mereka telah memberi amaran kepada orang ramai tentang masa menunggu yang lebih lama di hospital dan klinik kerajaan pada tarikh tersebut.

“Rakyat Malaysia yang dihormati, jangan pergi ke mana-mana hospital am atau klinik kesihatan dari 3 hingga 5 April 2023, kerana lebih 8,000 doktor kontrak akan mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem yang tidak adil dan gaji rendah.

“Masa menunggu anda dijangka lebih lama daripada biasa. Terima kasih. #MogokDoktorKontrak,” tulis satu akaun Instagram.

Kumpulan itu juga mendakwa bahawa beberapa “Napoleon” dalam jabatan di hospital telah membekukan cuti tahunan dan hari cuti pada tarikh tersebut untuk menghalang doktor kontrak daripada menyertai mogok itu.

Bagaimanapun, jurucakap itu menegaskan bahawa doktor kontrak masih akan terus menyertai walaupun diberi amaran.

Kumpulan itu menuntut penyerapan semua pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap, kenaikan gaji pokok, kadar panggilan yang lebih tinggi, dan pengurangan automatik dalam tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan kepada tiga tahun.

Mereka juga menyeru pengurangan dalam panggilan dan waktu bekerja untuk pegawai perubatan, selain meminta kekurangan doktor pakar ditangani dengan segera. AD