92 orang disahkan terkorban dalam insiden letupan di sebuah masjid di ibu pejabat polis dekat barat laut Pakistan setakat petang Selasa.
Sementara itu, lebih 90 peratus daripada mangsa adalah anggota polis – antara 300 dan 400 daripadanya telah berkumpul di perkarangan masjid untuk solat.
Serangan berani mati itu berlaku ketika solat Asar pada Isnin di wilayah Peshawar, berhampiran kawasan di sepanjang sempadan Afghanistan, yang mana jumlah militan semakin meningkat.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Peshawar, Shafiullah Khan berkata, lebih 80 mangsa masih dirawat di hospital ketika ini.
Seorang pegawai polis yang terselamat daripada letupan itu, Nasrullah Khan berkata, dia melihat letupan sebelum dikelilingi kepulan asap hitam.
Katanya, kakinya patah akibat letupan itu dan terperangkap dalam runtuhan selama tiga jam.
“Siling itu jatuh. Ruang di antara siling dan dinding menyebabkan saya berjaya bertahan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 20 anggota polis yang terkorban disembahyang dan dikebumikan secara kehormat pada Selasa. — Agensi