Salah satu kehebatan Al quran adalah, manusia tidak mampu mengubah ayatnya, Tetapi ayatnya mampu mengubah seluruh kehidupan manusia menjadi lebih baik.
.
Kerana Allah menjadikan Al Quran sebagai petunjuk dan panduan hidup bagi manusia. Kerana Allah yang menciptakan kita. Hanya Dia sahaja yang mengetahui segalanya tentang kita.
.
Sepertimana Firman Allah SWT:
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;” (Al-Baqarah 2:2)
.
Allah menurunkan Al Quran kepada kita adalah sebagai satu manual kehidupan yang lengkap, untuk kita lebih bersedia menghadapi segala cabaran, rintangan, ujian, keraguan dalam kehidupan kita di dunia yang fana ini. Al Quran juga menjadi peringatan kepada manusia agar sentiasa mematuhi perintah Allah.
.
Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Jadikanlah Al-Quran sebagai panduan hidup kita, apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup, kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat pimpinan daripada Allah. Al-Quran juga merupakan medium yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menggilapkan keimanan.