SHAH ALAM, 8 OGOS 2022 – Selepas pendedahan skandal enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang gagal disiapkan sehingga sekarang, bakal terdapat satu lagi pendedahan yang akan mengejutkan lagi selepas ini, kata Ketua Pemuda PAS.
Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan satu persatu pendedahan bakal dibongkarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada umum, ia selepas beberapa nama pemimpin UMNO terpalit dengan skandal kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu baru-baru ini.
“Ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS, jangan bimbang, satu persatu akan menyusul,” katanya dalam satu kenyataan pendek di Facebook.
Ahmad Fadhli yang juga salah seorang ahli jawatankuasa dalam PAC juga menyindir kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu program partinya di Selangor baru-baru ini dengan berkata “ambil mana-mana sempat”.
“Fasten your seatbelt (pasang tali pinggang anda)… Seperti kata pepatah, ambil mana-mana yang sempat,” katanya lagi.
Zahid sebelum ini dalam Program Barisan Nasional (BN) Selangor dalam ucapannya memberitahu secara berseloroh kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk “mengambil mana-mana yang sempat”.
Kenyataan itu menimbulkan kritikan banyak pihak kerana menunjukkan seolah-olah Zahid yang sudah terpalit dengan puluhan kes rasuah di mahkamah tidak insaf dengan tindakannya.
Terdahulu, skandal LCS bernilai RM9.1 bilion mendapat perhatian orang ramai susulan pendedahan laporan PAC pada minggu lepas.