• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Adakah Vaksin Covid-19 Kini Wajib Diambil?

Spread the love

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 dilaporkan memutuskan ‘Hukum penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus, dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan pihak berkuasa.’

Setelah hampir setahun, dilaporkan pada 30 September 2021 individu dewasa 18 tahun ke atas yang telah lengkap divaksinasi adalah 86.3% dan sekurang-kurangnya telah selesai satu dos adalah 94.2% dengan unjuran semuanya selesai lengkap pada 25 Oktober 2021.

Malah, kini kanak-kanak remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga telah mula diberikan vaksin tersebut bermula 23 September 2021 dengan sasaran 60% daripada mereka mendapat sekurang-kurangnya satu dos menjelang November 2021 – data pada 30 September 2021 setelah seminggu pelaksanaan adalah 47.6% telah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos – tempoh pelaksanaan yang cepat berbanding sasaran.

Walaupun begitu, terdapat segelintir individu dalam komuniti yang tidak yakin dengan vaksin / vaksin Covid-19 ini dengan pelbagai sebab musabbab, lantas mereka tidak mahu mengambilnya dan menggunakan solusi lain sebagai ikhtiar melawan Covid-19.

Saya tiada masalah dengan pandangan mereka. Ikhtiar lain juga baik – saya hormat pendirian dan hak mereka – namun situasi semasa dan gambaran masa depan mengajak saya untuk mengajak individu-individu ini untuk melupakan pandangan mereka, lalu bertindak segera mengambil vaksin ini yang disediakan percuma oleh kerajaan.

Saya nak mengisahkan tentang realistik, bukan dalil konkrit. Al-kisahnya begini, sebelum ni – kedai makan, bukan kedai makan atau apa-apa kedai pasar raya sudah ada peraturan yang menetapkan hanya individu telah mengambil vaksin sahaja dibenarkan masuk – malah, perlu pula lengkap dua dos, perlu pula tunjuk sijil vaksinasi.

Kini – semua penjawat awam diwajibkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November 2021, jika tidak tindakan tatatertib akan diambil. Guru juga tidak boleh masuk kelas. Guru KAFA pun sama. Pengkuliah juga disyaratkan dua dos – suatu kerugian kepada ilmu di surau masjid kerana tidak dibenarkan untuk berkuliah.

Masa depan – saya yakin seluruh pusat jabatan pentadbiran negara dan swasta daripada pendaftaran kelahiran anak di Jabatan Pendaftaran Negara hinggalah ke tanah perkuburan memerlukan semua pelawatnya untuk lengkap dua dos. Kita memasuki gerbang norma baharu dalam operasi pentadbiran dan pengurusan.

Justeru, ini akan menimbulkan kesulitan kepada kita – bagaimana nak masuk pejabat? bagaimana mudah keluarkan wang di bank? bagaimana nak menziarahi rakan di hospital? bagaimana nak temani si isteri tersayang yang hamil? bagaimana nak solat berjamaah di masjid? bagaimana nak berhaji atau membawa orang berumrah? bagaimana?, bagaimana? dan banyak bagaimana lagi? – Kita tentu kata ada alternatif lain, tapi percayalah ia sangat menyusahkan, yang perlu dihindarkan.

Kita jangan salahkan orang lain. Jangan salahkan pejabat, majikan. Jangan salahkan jawatankuasa surau, syarikat penerbangan. Jangan salahkan mereka yang membuat peraturan itu – Mereka berbuat demikian untuk menjaga maslahah yang lebih besar – mereka juga ada keyakinan kuat bahawa orang tidak lengkap dos berkeberangkalian besar untuk membawa virus menjangkiti pelanggan mereka.

Lantas kita jangan salahkan pekedai kerana mereka ingin menjaga periuk nasi mereka. Jangan salahkan sekolah, universiti atau guru kerana mereka juga nak menjaga diri dan anak-anak orang lain. Jangan ‘tembak’ pemimpin kerana mereka menjaga maslalat rakyat dan mas’ul mereka. Jangan marahkan al-Sultan kerana mereka menjaga masalahat negeri naungan seperti dikehendaki agama.

Beralahlah demi sesuap nasi anak-anak. Jangan berteguh dengan keyakinan kita sedangkan kita penjawat awam atau guru yang mungkin diberhentikan kerana melawan arus majikan. Anak-anak kita pun nak ke sekolah. Nak bergaul baik dengan kawan-kawannya. Jangan menjunjung ego dalam perkara ikhtiar – biarlah ikhtiar orang lain menang kerana kita juga tidak kalah demi mengutamakan maslahah orang lain yang lebih besar dan umum.

Saya tidak mahu menjawab soalan pada tajuk, tapi anggaplah dengan segala argumen di atas kita kini berada dalam situasi ‘ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan pihak berkuasa’. Lalu, segeralah kita walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di mana-mana. Anggaplah kita sedang melakukan hijrah niat dan jihad selepas tiadanya hijrah lagi – mudah-mudahan kita beroleh ganjaran pahala besar, aamin.