• Tue. Sep 10th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

ADUN DAP antara dilantik sebagai EXCO Kerajaan Melaka PH-BN

Apr 5, 2023
Spread the love

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP adalah antara muka baharu yang dilantik sebagai ahli Exco kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Melaka, di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof.

ADUN DAP Kesidang, Seah Shoo Shin dilantik sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Turut dilantik ialah ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan (Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital); dan ADUN Ayer Limau (Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan).

Tujuh ADUN dilantik semula menggangotai barisan Exco negeri. Mereka ialah:

  • ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin – Exco Kanan bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana;
  • ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman – Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan);
  • ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh – Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan);
  • ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti);
  • ADUN Gadek, VP Shanmugam – Exco Belia, Sukan dan NGO;
  • ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem – Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan; dan
  • AUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.

Semua mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, hari ini (5 April 2023).

Sementara itu, seperti dijangkakan, ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis digugurkan daripada jawatan Exco yang disandangnya sebelum ini. Turut digugurkan ialah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Muhamad Jailani dipercayai digugurkan kerana membuat kritikan terbuka berhubung kemelut pertukaran Ketua Menteri baru-baru ini apabila AB Rauf menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau dilaporkan berkata pertukaran itu akan menyaksikan Melaka akan memiliki ‘Ketua Menteri tebuk atap’

“Apa yang tuan-tuan akan saksikan dalam beberapa hari berikutnya ialah ketua menteri tebuk atap atau ketua menteri pintu belakang.

“Ini spesies baharu kelahiran UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia seperti dilaporkan oleh portal berita, FMT.