AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menyumbangkan bakti kepada penduduk di kawasan Kok Lanas.
“Saya terlibat dengan politik sudah terlalu lama dan mula aktif sejak tahun 1986. Pada tahun 1990 saya diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai setiausaha politik menteri, setiausaha politik Perdana Menteri, Ahli Parlimen, Adun dan beberapa pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC).
“Sepatutnya kita ambil masa kongsi pengalaman dengan orang baru, latih generasi baharu untuk ambil alih tampuk pentadbiran negara dan itu hasrat saya.
“Kalau nak bersara…bersaralah waktu rekod kita bagus. Jangan bersara semasa kita sudah kalah, masa orang sudah benci dan buang kita,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Jelas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu, pemimpin yang sudah melangkau usia 65 tahun dan ke atas sepatutnya memberi ruang kepada orang muda, orang baharu untuk memimpin negara.
Katanya, walau bagaimanapun sumbangan masih boleh diberikan dengan baik menerusi latihan, pengkaderan, kursus, berkongsi ilmu, pengalaman dan sebagainya.
“Kita boleh lihat Tun Musa Hitam, seorang pemimpin yang sentiasa releven tetapi dia tahu masa hendak berhenti. Takkan kita nak pegang (jawatan) sehingga umur 100 tahun.
“Pada saya, usia 70 tahun sudah maksimum. Saya sedang fikir dan latih orang baharu…dalam bahagian (Umno Ketereh) saya latih muda. Sebab saya dulu pun macam itu dilatih oleh Tun Musa, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramai lagi semasa bergelar pelajar universiti,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Md Alwi mempertahankan kerusi DUN Kok Lanas selepas menewaskan calon PAS, Nik Mahadi Nik Mahmood dan Dr Mohd Hanapi Ismail (PKR) dengan majoriti 1,122 undi.
Md Alwi memperoleh undian sebanyak 10,921 manakala Nik Mahadi (9,799 undi) dan Dr. Mohd. Hanapi (1,779 undi).