• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ahli Parlimen DAP diperintah bayar ganti rugi RM2 juta kerana memfitnah

Mar 16, 2023
Spread the love

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi kesemuanya berjumlah RM2 juta kepada sebuah firma e-dagang MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Jessy Lai.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati Lip Eng bertanggungjawab memfitnah Jessy dan MonSpace yang bertindak selaku plaintif pertama dan kedua dalam tuntutan saman difailkan mereka.

Jessy dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lip Eng (defendan) pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Jessy berkata, Lip Eng membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya hari ini, Akhtar memerintahkan Lip Eng membayar ganti rugi sebanyak RM500,000 kepada Jessy dan RM1 juta kepada MonSpace serta ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 kepada kedua-dua plaintif.

Hakim juga memerintahkan Lip Eng mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada kedua-dua plaintif dalam akhbar vernakular dan media sosial dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman.

Dalam penghakiman ringkasnya melalui prosiding secara online, Akhtar berkata, mahkamah mendapati Jessy dan MonSpace berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lip Eng dan berhak untuk mendapatkan permohonan maaf serta ganti rugi.

Hakim itu berkata, Lip Eng tidak menafikan membuat kenyataan itu yang secara jelas ditujukan kepada kedua-defendan dan membayangkan mereka merasuah pegawai kanan kerajaan dan menjalankan aktiviti haram serta menipu pelabur China.

Beliau berkata, kenyataan itu jelas mencemarkan nama baik plaintif dan menjatuhkan reputasi mereka.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, defendan bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan kawasannya dan juga orang awam.

“Tindakan defendan membuat laporan polis adalah dipuji, tetapi beliau sepatutnya berhenti pada tahap itu dan membiarkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Sebaliknya, defendan bertindak melangkaui tugasnya sebagai seorang Ahli Parlimen dan bertindak luar batas undang-undang dengan membuat pelbagai tuduhan terhadap plaintif,” katanya.

Hakim itu berkata, tindakan defendan turun ke jalanan untuk membuat protes terhadap plaintif adalah satu tindakan yang tidak wajar.