• Wed. Jun 7th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ahli Parlimen PKR tulis sajak sebab malu dengan Anwar

Dec 5, 2022
Spread the love

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengakui dirinya “malu” pada diri sendiri dengan perjuangan selama suku abad yang cuba “membawa perubahan hakiki yang dipanggil reformasi”.

Menerusi satu sajak, pemimpin lantang PKR itu berkata separuh jiwanya telah mati dan merasa tewas dengan kemenangan tanpa integriti. Sajak Hassan ini dikeluarkan selang beberapa hari susulan pembentukan kabinet PH oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim Jumaat lalu yang dipertikaian oleh pelbagai pihak, baik di pihak kerajaan, mahupun pembangkang.

Ini termasuk pelantikan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

Zahid digambarkan secara meluas sebagai musuh utama PH menjelang pilihan raya 19 Nov lalu yang berakhir tanpa mana-mana gabungan yang mempunyai majoriti jelas untuk membentuk kerajaan.

Sajak yang ditulis ;

Ku simpan risalah reformasi di dalam peti

Semalam aku masih terdengar-dengar
Kau berkata ;Kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa, Maka, aku pun percaya

Lalu aku kumandangkan suara keyakinanku
Ke setiap penjuru tanahair tercinta ini
Ke bukit ke gunung, ke lembah, ke lurah
Ke tanah datar aku berbicara
Bahawa hidup ini hanya sekali

Maka marilah kita rakyat marhaen,
warga bawahan rakyat jelata,
Demi keadilan kita bersama,

aku seru

Kita bawa perubahan hakiki yang kita panggil reformasi
Tetapi hari ini aku dikejutkan
Dengan istilah-istilah asing sama sekali
Aku mendengar orang berkata
tentang Machiavellian dan realpolitik

Lalu tersentaklah aku dari mimpi ngeri
Justeru, aku merayu kepada sahabatku,
Berkata luruslah di luar dan di dalam hati

Apakah benar?

Yang lurus itu dakwah,
Politik ini bengkang bengkok rupanya?
Naif sungguh aku ini
Lurus bendul selama ini

Setelah terbangun dari mimpi
Aku ambil peti kayu di tepi katil tidurku
Lalu aku lipat dan kusimpan
Segala risalah dan teks ucapanku

Yang menyeru reformasi, reformasi,
Hampir suku abad, selama ini
Kini aku malu pada diri sendiri
Aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi

Separuh jiwaku telah mati
Aku merasa tewas
Ketika menang tanpa integriti seperti ini

HASSAN ABDUL KARIM
Pasir Gudang
Isnin 05 Disember 2022