• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ahli PAS undi BN di PRN Melaka tanda protes? – FHO

Nov 30, 2021 , ,
Spread the love

AHLI PAS UNDI UMNO PRN MELAKA.

PRN Melaka telah berakhir. Kemenangan BN satu modal besar mereka untuk berbangga . Maka bergema lah kutukan dan hinaan kepada PAS. Dalam masa yang sama pimpinan mereka memujuk dalam mengejek kononnya “akar umbi” PAS menyokong umno sebagai protes keputusan pimpinan PAS bersama PN.

Umno sedar bahawa mereka masih tidak mampu berdiri sendiri dalam PRU 15 khasnya di Selangor. Di Selangor umno hampir putus nyawa dan tentunya “taukeh” yang bergantung dengan mereka telah lama melarikan diri. PAS adalah gandingan terbaik umno untuk menyentak ego PH di Selangor.

Dalam umno sendiri muncul beberapa mazhab dengan kemenangan ini. Mazhab yang sedar kemenangan di Melaka dengan penurunan undi yang teruk. Bagi melegakan hati, mereka beranggapan ia angkara protes penyokong yang tidak turun mengundi . Angka peratusan rendah keluar mengundi adalah hujjahnya.
Ada juga mazhab yang berfikir.. “Yang penting menang kerusi”.

Saya tak kisah apa mazhab pun kerana ia tidak memberi impak kepada PAS. Apa yang menghairankan ialah momokan umno kononnya ahli PAS ramai yang mengundi umno sebagai protes bersama PN dalam PRN Melaka. Maka kakaktua pun mengulanglah kalimah sama yang mereka sendiri tidak mengerti apa yang diulang bicara.

Jika kita meneliti keputusan PRN Melaka, ternyata undi umno merosot hampir di semua kerusi ditandingi berbanding PRU 14. . Bezanya mereka menang berbanding kalah teruk dalam PRU 14. Ke mana undi umno pergi?

Jika kita meneliti undi PAS berbanding PRU 14 dari lapan kerusi ditandingi dalam PRN Ini, semuanya bertambah undi kecuali satu. Dari mana datangnya undi PAS ini? Dalam PRU 14 ternyata undi yang PAS, miliki adalah undi teras ahli PAS yang tidak berganjak walau apa terjadi.

Di mana rasional dakwaan umno kononnya pengundi PAS mengundi umno kerana menentang PN dan mahukan MN? Analisis apa yang dibuat pemimpin umno. Apakah dalam keadaan berdengkur atau anganan kosong sebagai satu harapan yang tidak kesampaian?

Jika kita rajin mengira angka, undi umno di lapan DUN yang PAS tandingi adalah 36,536 undi berbanding 40,965 undi dalam PRU 14. Ini beerti umno mengalami kemerosotan 4429 undi berbanding PRU 14 yang mereka kalah.

Pas pula mendapat 22,252 undi berbanding 15,521 dalam PRU 14. Ini beerti PAS mendapat tambahan 6731 undi. Sifir bijak siapa yang meletakkan pengundi PAS mengundi umno sedangkan PAS mendapat peningkatan undi dan umno mengalami kemerosotan undi?.

Dakwaan yang lebih “logik” adalah pengundi umno mengundi PAS, tetapi tidak cukup untuk menang. Itu lebih waras dari “zikir” pengundi PAS undi umno kerana tolak PN. Saya tidak berhasrat membuat dakwaan itu kerana tiada data yang mengesahkan. Saya cuma ingin menyedarkan kemabukan hujah pengundi PAS menyokong umno. Itu sahaja.

Tulisan ini bukan beerti menolak muafakat dalam MN tetapi berharap agar umno tidak menggunakan hujah palsu untuk memperdaya PAS agar bersama mengikut telunjuknya. Kalau ingin membentuk muafakat, biarlah dibina atas asas yang benar fakta dan datanya. Jangan gunakan data “hantu” agar PAS boleh diperguna untuk menyokong keinginan umno. Persahabatan mesti bermula dengan keikhlasan dan kejujuran. PAS telah buktikan dalam tujuh PRK lalu.

FHOAS
221121
IPOH