• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Air Kelantan: Rafizi mari kita kira RM8 bilion

Jul 7, 2023
Spread the love

MENDENGAR keratan video ceramah Rafizi Ramli, pasal RM8 bilion, kita boleh sahkan YB Menteri yang juga Timbalan Presiden PKR ini sedang pening.

Antara yang disebut Rafizi;

i. “Haa yang ini 50, ha apa ni 500 liter, juta liter sehari, aku pun dah lupa, dia 500 ribu ke 500 juta? … dia kapasiti satu water treatment plant 500 ribu liter sehari kan?”

YB Menteri, untuk rekod, air terawat yang dibekalkan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ketika ini adalah sekitar 513 JLH iaitu kepada 274,334 pengguna sehingga April 2023. Ini mewakili separuh daripada pengguna di Negeri Kelantan, di mana jika mahu 99 peratus rakyat menggunakan air AKSB, maka sekitar 500 JLH lagi diperlukan.

Itu belum dikira, NRW Kelantan sekitar 55.2 peratus yang akan menyebabkan 513 JLH akan tinggal hanya 229 JLH sahaja yang sampai kepada pengguna. Sebab apa? Paip tua, buruk, pecah, bocor yang kita nak tukar 3,595km itulah YB. Jumlah panjang keseluruhan paip pula adalah 8,514.03km.

Nak belasah Kelantan isu air, pastikan YB tahu beza 50, 500,000 dan 500 juta dulu. Jangan main sebut sembarangan.

YB cakap pun tergagap gagap atau tidak pasti fakta, macam mana boleh syarah nak pertikai fakta yang telah dimesyuaratkan dan disebut kepada media terdahulu oleh Menteri dan Perdana Menteri pada 1 Jun 2023 lalu? Memang perangai Menteri Madani ni suka ‘sailang‘ sesama sendiri?

ii. “8 bilion itu belanja untuk tujuh kalau tak silap saya, tujuh loji rawatan, yang diperlukan satu jerr, enam lagi tu dia pandai-pandai tambah, kot kot dia nak bagi lah kat kita.”

YB Menteri, mari kita tengok apa pecahan RM8 bilion itu;

  1. Pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) mengikut zon sebanyak 5 Lokasi beserta Loji, Paip Utama dan Tangki Imbangan iaitu:

– TAPS di Jajahan Jeli berkapasiti 200 JLH bernilai RM500 juta.

– TAPS di Gong Kulim, Jajahan Pasir Puteh berkapasiti 500 JLH bernilai RM900 juta.

– TAPS di Kuala Jambu, Jajahan Tumpat berkapasiti 300 JLH bernilai RM600 juta.

– TAPS di Islamic City Bandar Baru Tunjung, Jajahan Kota Bharu berkapasiti 400 JLH bernilai RM700 juta.

– TAPS di Meranti, Jajahan Pasir Mas berkapasiti 300 JLH dengan nilai RM600 juta.

  1. LRA Lebir Gua Musang 100 JLH, Paip Utama dan Tangki Imbangan bernilai RM700 juta.
  2. LRA Machang berkapasiti 500 JLH, Paip Utama dan Tangki Imbangan bernilai RM1,560 juta.
  3. LRA Nenggiri 100 JLH, Paip Utama Dan Tangki Imbangan bernilai RM789 juta.
  4. Penyediaan geran dicadangkan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi penukaran paip jenis AC yang uzur dan sering pecah sepanjang 3,595 kilometer bernilai RM1,700 juta.
  5. Hapuskira Baki Pinjaman Kerajaan Persekutuan Dan Pinjaman Asia Development Bank bagi Projek Bekalan Air bernilai RM279.8 juta.

Jumlah keseluruhan adalah RM8,328.80 juta ataupun RM8.3 bilion wahai YB Menteri. Sebab itu jangan reka-reka kata Kelantan minta RM8 bilion hanya untuk 7 loji. Itu karut dan kelirukan rakyat. Kita bukan pandai-pandai, tapi permohonan kita disokong dengan perincian keperluan.

iii. “Bukan ke kalau tambah satu lagi loji rawatan air dah cukup untuk Negeri Kelantan?”

YBM, kenapa terlalu busuk hati bila bercakap untuk rakyat Kelantan? Kenapa negeri lain terima sejak dahulu berbilion wang pembangunan, khasnya dalam bentuk geran sahaja, tetapi tidak dikecohkan?

Tapi bila datang keperluan orang Kelantan, dia sebut ‘bukan ke tambah satu lagi dah cukup’?

Amboi!

Untuk rekod, dalam tempoh 2010 hingga 2018, Kerajaan Persekutuan sudah melabur lebih RM22.3 bilion untuk menyediakan infrastruktur bekalan air di Selangor.

Ini termasuk RM742 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan RMKe-11 dan projek mitigasi; RM7.6 bilion bagi projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor dan Loji Rawatan Air Langat 2 serta RM14 bilion lagi diperuntukkan untuk skim penstrukturan semula industri bekalan air di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

Negeri lain boleh? Tapi untuk Kelantan?

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre