SHAH ALAM, 30 JUN 2022 – Air Sungai Chandong di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, dikesan bertukar merah disyaki tercemar akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pencemaran itu dikesan berlaku di hilir kolam tebatan banjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Jalan Sungai Pinang.
Katanya, tinjauan turut dilakukan di jeti nelayan dan mendapati air masih berwarna merah, manakala ujian asid menunjukkan bacaan tahap alkali pada pH 6.44.
“Siasatan diteruskan di Jalan Pinang 5/5 dan mendapati kesan aliran cecair merah dalam longkang monsun.
“Lokasi disyaki menjadi tempat pembuangan cecair merah, dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu mungkin dilakukan pada waktu malam,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia untuk mengesan pihak yang bertanggungjawab.
“Ops Gempur turut dijalankan semalam di beberapa premis disyaki terbabit insiden berkenaan,” katanya