• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Akar umbi mengaku hilang keyakinan dengan UMNO

Jun 11, 2023
Spread the love

Setelah tirai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 dilabuhkan semalam, ketidaktentuan melanda parti itu menjelang PRN di enam negeri akan datang.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku di PAU kali ini tidak banyak membantu melenyapkan persepsi wujudnya perbalahan dan perpecahan dalam Umno, dengan banyak persoalan timbul, sama ada parti itu boleh mengubah nasibnya sebelum PRN tiba.

Beberapa pemimpin akar umbi Umno memberitahu, mungkin sudah “terlambat” untuk menyampaikan hala tuju parti serta kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kepada ahli akar umbi.

Ahli akar umbi, kata mereka, memainkan peranan penting dalam komunikasi dengan pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Jika ahli akar umbi tidak mendapat mesej yang betul (daripada kepimpinan parti), mereka tidak akan turun padang untuk berkempen,” kata seorang pemimpin akar umbi dari Tapah, yang enggan namanya disiarkan.

“Jika mesej yang betul mengenai kerjasama Umno dengan DAP tidak disampaikan kepada akar umbi, ada kemungkinan ahli-ahli ini akan melompat ke Bersatu kerana mereka percaya komponen Perikatan Nasional (PN) itu memperjuangkan hak Melayu.”

Sementara itu, seorang pemimpin akar umbi dari Johor berkata, jika Zahid Hamidi kekal sebagai presiden parti, kedudukan Umno dalam kalangan pengundi akan terus merosot susulan prestasi hambarnya pada PRU15 tahun lepas.

Umno hanya memenangi 26 kerusi Parlimen pada PRU15, jumlah perwakilan terendah pernah diperoleh parti itu di Dewan Rakyat.

“Masalah dengan Zahid adalah personanya, kerana beliau tidak semudah didekati seperti bekas presiden Najib Razak.

“Ini seterusnya akan memberikan kesan kepada pengundi muda, yang mahukan seseorang yang boleh didekati,” kata pemimpin akar umbi itu.

Seorang ketua Pemuda Umno berkata adalah sukar bagi Zahid untuk mengendalikan parti.

“Kami (Pemuda Umno) tidak sepemikiran dengan Zahid dan tidak begitu yakin dengan kepimpinannya. Kami tidak boleh maju jika beliau terus memimpin,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menafikan dakwaan bahawa sayap itu bercanggah dengan Zahid. Katanya, mereka sangat menghormati presiden parti.

Bagaimanapun, menurut pemimpin Pemuda sebelum ini, walaupun sayap itu “mempunyai hubungan yang baik” dengan Zahid, ia masih mempunyai pandangan sendiri yang tidak semestinya selari dengan presiden parti.

Dengan wujudnya isu-isu ini yang masih belum selesai, prospek Umno untuk PRN masih samar-samar. FMT