• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Aku, calon P.005 Jerlun dan Pas Melele

Nov 7, 2022
Spread the love

Oleh Dr Nabila Din

  1. Akhir 1999, aku dipanggil oleh tuan guruku, Syeikh Tajuddin Abdul Rahman Dato’ Murshid Diraja. Aku masuk di dalam biliknya. Belum sempat melabuhkan diri di kerusi, tok ayah berkata, ‘Hang pi bantu depa Pas Melele!’.
  2. Kira-kira seminggu sebelum itu, Presiden Pas Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, anak saudara tok ayah menziarah beliau. Ziarah itu bukan sebarangan. Ziarah itu pintu pembukaan kepada penubuhan penaja Pas di situ.
  3. Tanpa izin tok ayah, aku yakin tidak siapa yang berani menaja cawangan Pas di situ termasuk anak-anak muridnya. Gambar asal pertemuan dua tokoh keturunan al-Jarumi itu masih aku simpan.
  4. Hari Jumaat tanggal 19 November 1999 pun tiba. Hari yang sama dengan ulangtahun Tragedi Memali – juga bertepatan dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.
  5. Tetapi hari itu, aku ingat bersemangatnya Dato’ Ustaz Fadzil berpidato sempena tertubuhnya Pas Cawangan Melele (penaja) dikelilingi ribuan rakyat marhean – dibentengi anak bendang, anak motong getah, anak ban tembakau – orang kerja kampung.
  6. Kini tok ayah telah tiada. Ustaz Fadzil sudah meninggalkan kita. Namun, pesanan tok ayah khususnya, tidak aku lupakan. Justeru, saban penggal aku akan balik ke Melele mengajak pak long, mak ngah, tok su untuk mengundi Pas.
  7. Setiap kali musim PRU – 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018 – aku tidak pernah ‘miss’ memohon cuti lima hari sebelum pengundian untuk balik. Paling kurang sempat menyapa calon dan sahabat-sahabat petugas pilihanraya Pas Jerlun, MTD Ayer Hitam dan Kota Siputeh serta UPU Kampung Melele.
  8. Di situlah aku bertemu Wakil Rakyat Dun Ayer Hitam sekarang YB Cikgu Haji Azhar Ibrahim, seorang tok wakil yang sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Ingat aku cikgu yang beribu-ribu anak murid ini memikul di bahu pelbagai barangan komputer untuk cetak edaran slip pengundian ketika zaman jentera BN tiada apa-apa.
  9. Orangnya mesra. Dalam PRU lepas, aku pernah menyatakan kepada seorang rakan ahli Umno, Cikgu Azhar mustahil dapat ditewaskan walaupun Parlimen ditandingi anak Tun Mahathir, Mukhriz. Ternyata telahan ini benar sekalipun lawannya berlogo dacing, mata mahupun bunga raya.
  10. Di situlah aku bertemu dengan YDP Pas Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad yang juga calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRU kali ini. Seorang anak kampung yang berpendidikan tinggi, namun sangat merendah diri. Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi.
  11. Aku masih ingat ketika bersama kempen Parlimen Jerlun tahun 2004 terdapat tiga penceramah yang mengambil bahagian dalam kempen berkelompok. Ketiga-tiganya ‘anak Ahmad’, iaitu calon Ust Idris, YDP Dr Abdul Ghani dan seorang lagi juga diletakkan ‘Ahmad’.
  12. Dr Abdul Ghani anak jati Ayer Hitam, lahir pada 3 Jun 1970. Mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Alawiyah, Arau sebelum ke Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang – kedua-duanya sekolah agama elit yang sering melahirkan pimpinan negara dan masyarakat.
  13. Kemudian beliau melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang perundangan. Ijazah pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia hinggalah memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia.
  14. Beliau pernah memenangi Dun Ayer Hitam sebanyak dua kali dan kemudian menjadi Exco Penerangan, Pembangunan Usahawan negeri serta Timbalan Speaker Dun Kedah. Di samping itu, beliau mempunyai firma guaman sendiri serta pernah bertugas sebagai peguam panel di Jabatan Bantuan Guaman Malaysia serta di pelbagai firma guaman lain.
  15. Aku percaya gandingan Cikgu Azhar di Dun Ayer Hitam dan Dr Abdul Ghani di Parlimen Jerlun akan memberikan impak tinggi terhadap pembangunan insan, ilmu dan ekonomi di situ. Jauh dari itu mereka orang yang ringan tulang, memberi kebajikan tidak kira agama, bangsa mahupun parti.
  16. Untuk rakan-rakan sepengajian di Pondok Melele, Pondok Ayaq Hitam dan Pondok Paklang Keplu, marilah sama-sama mengundi calon Pas, walaupun dulu-dulu kita mengundi parti lain. Yang dah lepas biarkan, kita bergeraklah ke hadapan dengan ilmu yang ada demi Islam dan anak cucu.
  17. Rakan-rakan sepermainan di jajaran Melele, khasnya di lokaliti Kg Melele, Seberang, Belukar, Kubang Menerong, Kubang Chenok, Wang, Pak Chik, Pulau Kekabu, Gajah Puteh dan lain-lain, serulah anak cucu menantu untuk memberi undi kepada PN-Pas kali ini, walaun saban penggal kita diuji dengan sekampit beras, sehelai kain batik. (Media Fastaqim)