SHAH ALAM, 16 April – Ustaz Mohamed Sukri Omar, YDP PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) menegaskan amalan kebajikan dan banyak bersedekah adalah kerja-kerja wajib yang perlu dilaksanakan oleh ahli di segenap peringkat parti.
Perkara tersebut ditegaskan di hadapan ahli dan hadirin dalam majlis penyerahan Bakul Prihatin Ramadhan PKSA yang diadakan di Dewan an-Nabawi, Islamic City Seksyen U12, Shah Alam.
Menurut beliau lagi, hidangan khairat yang dilaksanakan pasti dibalas dengan kebaikan yang banyak, lebih-lebih ketika berada pada fasa terakhir Ramadhan, misi mencari keampunan Allah SWT.
Majlis tersebut merupakan program mingguan PAS yang diadakan bagi berkongsi rezeki dengan ahli dan masyarakat awam dalam kawasan.
Menurut Muhammad Hasmizan Nasri, Ketua Lajnah Kebajikan PKSA program tersebut dianjurkan pihaknya bersama cabang kebajikan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
Ujarnya lagi, setiap minggu kira-kira 50 peserta menerima sumbangan bakul yang mengandungi barangan dapur seperti beras, gula, telur dan sebagainya.
Selepas majlis penyerahan barangan, semua hadiran berbuka puasa atau iftar bersama-sama. Juadah seperti nasi berlauk, aneka kuih dan buah-buahan disediakan untuk 150 orang.
Penyumbang utama barangan dapur dan juadah iftar sepanjang Ramadhan tahun ini adalah Maahad Tahfiz An-Nabawi, entiti di bawah Yayasan an-Nabawi kelolaan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang juga mantan YDP PKSA.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr Najmuddin Abdullah, Pengarah Pilihan Raya, Abu Ayash Mohd Khairi Ketua Lajnah Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Kesihatan, jawatan kuasa Lajnah Kebajikan PKSA dan dewan-dewan.
Lajnah Penerangan dan Media Baharu
PAS Kawasan Shah Alam