UMNO sepatutnya menilai semula mengapa orang ramai menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bukannya menyalahkan populasi pengundi kali pertama berusia 18 hingga 20 tahun, kata Persatuan Pengundi Muda (Undi18).
Menafikan dakwaan perwakilan UMNO Bahagian Jerai Datuk Norma Awang bahawa pengundi berusia 18 tahun ‘basah di belakang telinga’ apabila tiba kepada pemahaman mereka tentang politik, Undi18 berkata dakwaannya “bukan sahaja tidak berasas tetapi juga dianggap berat sebelah”, hanya kerana keputusan pilihan raya tidak memihak kepada parti itu.
“Sebaliknya, mereka (UMNO) perlu bermuhasabah dengan menilai semula punca penolakan rakyat serta mencari formula terbaharu dalam menarik sokongan golongan ini bukannya menuding jari kepada mereka,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini (13 Januari 2023).
Undi18 mengulas kenyataan Norma yang membahas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara semalam, sambil menggesa had usia mengundi dinaikkan semula kepada 23 tahun.
Kumpulan itu berkata pengundi dalam kumpulan umur 18 hingga 20 tahun hanya membentuk 3.2 peratus atau 676,070 orang daripada jumlah lebih 21 juta pengundi berdaftar.
Undi18 juga mengatakan bahawa setiap parti politik harus meraikan demokrasi dan penyertaan lebih banyak segmen masyarakat dengan meluaskan skop, bukan dengan mengurangkan lagi penglibatan individu dalam demokrasi.
Usaha untuk mendidik pengundi mengenai demokrasi juga perlu dilakukan lebih awal, terutama untuk semua pengundi kali pertama, tambahnya.
“Anak muda hari ini lebih terbuka dan fleksibel dalam membuat pertimbangan. Maka ruang dan peluang dalam demokrasi perlu diberikan kepada mereka.
“Hal ini demikian kerana isu kematangan seseorang bukanlah bergantung kepada usia sahaja kerana hari ini telah terbukti ramai anak muda tempatan yang telah menempa nama di persana dunia dalam pelbagai bidang,” kata kumpulan itu lagi.
Semalam, Norma turut berkata pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan. AD