Angka korban tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali di sini meningkat kepada 23 mangsa.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan, ia susulan penemuan dua lagi mayat di lokasi kejadian setakat jam 1 tengah hari tadi.
Katanya, mangsa masing-masing adalah seorang perempuan dewasa dan kanak-kanak.
Setakat ini, ujar beliau 10 lagi individu masih hilang.
Sementara itu, Norazam ketika ditanya menambah, mayat ke-22 dan ke-23 itu ditemukan di sektor pencarian A iaitu Hillview.
“Mayat ditemukan dalam jarak yang dekat, dan tidak berpelukan,” katanya.
Terdahulu, seramai 135 petugas operasi dan menyelamat (SAR) yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.
Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.