PAS mengesahkan Tan Sri Annuar Musa adalah antara lebih 10 bekas pimpinan Umno yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai PAS.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula menunjukkan minat untuk menyertai Bersatu.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, satu pengumuman penerimaan keahlian tokoh-tokoh politik berkenaan dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.
“Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. InsyaAllah akhir bulan ini.
“Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai PAS, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam Umno,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan kesemua bekas pimpinan Umno terbabit akan turut dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau yang sebenarnya mempelawa bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk menyertai gabungan itu dan bukan sebaliknya.
Menurutnya, selepas dipecat daripada Umno, bekas Menteri Kesihatan ketika di bawah pentadbirannya itu ada menemuinya dan berbincang mengenai hala tuju politik.
“Sebenarnya dia tidak mohon nak masuk, saya tawar dia menyertai (PN),” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, tawarannya kepada Khairy masih terbuka lagi dan beliau ada bertanya mengenainya dalam pertemuan mereka baru-baru ini.