• Tue. Sep 26th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Annuar Zaini mohon maaf fitnah PAS, BERSATU Perak berebut MB

Nov 23, 2022
Spread the love

Ahli Dewan Negara Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini memohon maaf kepada Bersatu Perak berhubung dakwaannya bahawa parti itu berebut jawatan Menteri Besar (MB) dengan PAS serta mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurut BH, beliau mengakui menulis perkara tidak sahih dalam sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp berhubung perkara itu yang kemudian ditularkan.

“Kpd (Kepada) Dato Zainol Fadzil saya sangat mohon maaf kerana memasukkan elemen tidak sahih yang disampaikan kpd saya.

“Saya mohon maaf di atas kesilapan fakta tersebut,” kata beliau dalam mesej menerusi WhatsApp kepada Berita Harian malam tadi (22 November 2022).

Untuk rekod, Mohd Annuar – bekas Pengerusi Bernama – juga memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Terdahulu, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa.

Beliau berkata, pihaknya memang tidak mahu mengulas tetapi kenyataan itu menjadi tular dan menjatuhkan kredibiliti Bersatu.

Menurutnya, beliau perlu memberi penjelasan bahawa tiada ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa, iaitu jika MB daripada PAS mereka akan keluar daripada PN.

Bersatu Perak menyifatkan dakwaan parti itu berebut jawatan MB dengan PAS serta mahu keluar daripada PN jika jawatan itu diberikan kepada wakil PAS, sebagai fitnah besar.

Zainol Fadzi berkata, tiada ADUN Bersatu mengeluarkan kenyataan seperti didakwa itu dan ia berniat jahat serta cubaan menjatuhkan kredibiliti Bersatu.

“Heboh di aplikasi WhatsApp mendakwa kononnya ADUN PN berebut jawatan menjadi Menteri Besar. Saya memang tidak mahu mengulas isu berbangkit sebelum ini tetapi kenyataan sedang viral ini memang berniat jahat dan cubaan menjatuhkan kredibiliti kami.

“Saya perlu beri penjelasan tidak ada seorang pun ADUN Bersatu pernah mengeluarkan kenyataan seperti didakwa iaitu jika Menteri Besar daripada PAS maka kami akan keluar dari PN, ini satu fitnah besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol berkata demikian sebagai merujuk kepada paparan tular mesej di kumpulan WhatsApp kenyataan Mohd Annuar yang mengatakan ADUN PN berebut jawatan untuk menjadi MB.

Menerusi mesej WhatsApp yang tular, Mohd Annuar dipetik berkata PN di Perak berebut sesama sendiri jawatan MB sedangkan Sultan Nazrin mahukan kerajaan Perak ditubuhkan segera bagi menyelesaikan pembentangan bajet negeri sebelum musim banjir.

Dalam mesej itu Annuar berkata Pakatan Harapan (PH) membuat pengorbanan besar menerima syarat Barisan Nasional (BN) bagi jawatan MB, perlantikan tiga Exco Perak dari BN, Speaker DUN serta menggugurkan tuntutan hak milik tanah 999 tahun.