• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Anwar nak buat ‘Rumah Terbuka’ di 3 negeri PAS, nak beraya ke kempen?

Apr 21, 2023
Spread the love

Adakah wajar kerajaan berbelanja besar dengan mengadakan majlis rumah terbuka di tiga buah negeri seperti diumumkan semalam pada ketika rakyat sedang mengikat perut berjimat cermat?

Kerajaan campuran mengumumkan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di tiga negeri di perintah parti lawan iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang pastinya akan menelan belanja daripada wang pembayar cukai iaitu rakyat.

Ironinya, tidak pasti sama ada penganjuran tersebut bertujuan untuk meraikan orang ramai menyambut hari raya Aidilfitri atau pun semata-mata bermotif untuk kempen politik memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lama lagi.

Bagaimanapun, orang ramai berhak untuk mempunyai pandangan penganjuran tersebut semata-mata bermotif politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan pengundi pada ketika kerajaan sekarang ini berdepan kritikan berhubung beberapa isu.

Mengapa semua lokasi yang dipilih untuk penganjuran rumah terbuka kali ini tertumpu di negeri di perintah oleh parti lawan, kenapa tidak ada pula penganjuran di negeri yang diperintah kerajaan seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor atau Selangor?

Umum mengetahui, rakyat ketika ini tidak berpuas hati dengan kerajaan campuran yang dilihat tidak menunaikan janji dan menangani pelbagai isu seperti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kenaikan harga barang dan banyak isu-isu lain.

Langkah kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar sebaliknya memilih langkah dengan membenarkan pencarum mencagar akaun mereka untuk meminjam wang dengan institusi kewangan mengundang kecaman teruk terhadap kerajaan.

Orang ramai dan penganalisis kewangan menyifatkan langkah membenarkan pencarum mencagar akaun mereka untuk meminjam bukan satu langkah terbaik untuk membantu rakyat yang sedang berdepan kesempitan hidup, malah ia mengakibatkan mereka menanggung hutang kerana perlu membayar balik pinjaman yang diluluskan nanti.

Langkah mencagarkan akaun KWSP adalah sama seperti memohon pinjaman peribadi dan ia tidak akan menyelesaikan masalah kewangan dihadapi rakyat.

Selain isu KWSP, pengumuman pihak kerajaan baru-baru ini kononnya berita baik untuk rakyat juga disambut dingin apabila dalam media sosial pelbagai kritikan dan kecaman dibuat terhadap kerajaan campuran.

Paling tidak masuk akal apabila kerajaan mengumumkan penurunan harga simen dan memperkenalkan ‘simen rahmah’ pada ketika rakyat sedang bersiap sedia menyambut hari raya Aidilfitri.

Rakyat bingung apakah kaitan penurunan harga simen dengan sambutan hari raya Aidilfitri kerana ia tidak membantu mereka sama sekali untuk membeli barang keperluan untuk berhari raya nanti.

Apakah rasional pengumuman penurunan harga simen dengan sambutan hari raya kali ini?

Selain itu, peniaga juga mengeluh pada Ramadhan kali ini apabila hasil jualan mereka tidak laku berbeza sebelum ini.

Dalam media sosial juga tular para peniaga yang mengeluh apabila produk mereka tidak mendapat sambutan daripada orang ramai dan tidak kurang juga ada yang terpaksa berdepan kerugian puluhan ribu kerana tidak laku barang dijual.

Fenomena ini mempunyai kaitan dengan kesempitan hidup rakyat yang tidak mempunyai wang di tangan untuk berbelanja, malah belanja kemasukan anak ke sekolah sebelum ini juga menyebabkan orang ramai sudah kehabisan wang mereka untuk berbelanja.

Persediaan anak ke sekolah memerlukan belanja yang tinggi kerana perlu membeli pakaian sekolah dan buku-buku, jadi orang ramai sudah kehabisan wang untuk berbelanja pada hari raya kali ini.

Perkara ini menyebabkan orang ramai terpaksa mengambil langkah berjimat cermat dan membuat catuan perbelanjaan.

Berbalik kepada penganjuran rumah terbuka yang dirancang kerajaan, timbul pertikaian sama ada wajar ia diadakan pada ketika rakyat sedang mengikat perut mereka tetapi kerajaan pula dilihat berbelanja mewah.

Bukankah sepatutnya kerajaan mengambil langkah berjimat cermat dan menggunakan wang pembayar cukai untuk membantu rakyat yang sudah pun terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga yang mengumumkan langkah penjimatan pada Disember tahun lalu dengan mengarahkan kementerian dan agensi kerajaan perlu menghentikan penganjuran majlis besar-besaran untuk mengelak pembaziran.

PMX ketika itu berkata, jika amalan itu dapat dihentikan, peruntukan berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Setiap agensi perlu mengurangkan pembaziran…menghentikan pembaziran. Mengurangkan acara yang meriah dan megah,” katanya dipetik laporan media pada 22 Disember 2022 lalu.

Tetapi penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kali ini bukankah juga akan menelan belanja besar yang perlu dibelanjakan kerajaan, jadi dimanakah langkah penjimatan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini?

Adakah penganjuran rumah terbuka kali ini disebabkan PRN bakal berlangsung tidak lama lagi?