• Tue. Nov 12th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Anwar teliti desakan letak jawatan sebagai Pengerusi PH

Nov 23, 2021 ,
Spread the love

BANGI: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sedia meneliti apa-apa pandangan supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) namun menegaskan desakan itu tidak harus dibuat secara angkuh.

“Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh sehingga menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan lain,” katanya.

Beberapa pihak termasuk ADUN Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen, mendesak Anwar berundur daripada menerajui gabungan parti pembangkang itu susulan kekalahan teruk PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

PH hanya menang lima daripada 28 kerusi ditandingi manakala semua 11 calon PKR turut tewas.

Anwar berkata, beliau bertanggungjawab atas kekalahan itu dan juga keputusan PH menerima dua bekas ADUN Umno bertanding pada PRN atas tiket PH.

“Saya kena pikul tanggungjawab,” katanya ketika ditanya mengenai desakan beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH dan penerimaan dua bekas ADUN Umno itu sebagai punca kekalahan teruk PH di Melaka.

Selain Lee, desakan sama turut ditimbulkan beberapa ahli politik lain termasuk penganalisis Wong Chin Huat, yang mencadangkan PKR bergabung dengan Amanah.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong, juga mendakwa rakyat sudah menyampah dengan PH yang didakwa berulang kali memungkiri dan mahu melihat kepimpinan baharu.

Bagaimanapun, Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tidak adil meletakkan semua kesalahan di bahu Anwar semata-mata. (FMT)