Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan tuntutan pekerja mengeluarkan simpanan KWSP.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk tidak membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan mereka dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi kali kedua.
“Kita dah jelaskan dulu kita minta benarkan pengeluaran KWSP, banyak keluarkan wang sehingga ada tertinggal RM10,000 mahupun RM5,000. Mereka perlu fikir apa pilihan boleh dilakukan, kalau keluarkan pencen empat tahun lagi apa nak jadi?
“Jadi liputan itu mesti adil. Itu wang pencarum biar mereka keluarkan. Tapi kalau tinggal RM3,000 sahaja, pencen lima tahun lagi anak-beranak macam mana?,” katanya selepas melancarkan reformasi pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Universiti Selangor, kampus Bestari Jaya.
Anwar pada 16 Januari lalu berkata lebih baik kerajaan mencari kaedah lain bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, kebanyakan pencarum memiliki simpanan yang sangat kecil.
Terdapat desakan supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000.
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM) sebelum ini mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran segera wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar sebelum sesi persekolahan 2023 bermula.
Presidennya, Azmi Mohd Tahir menegaskan, ramai pencarum yang mengharapkan simpanan berkenaan ekoran terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, kami ingin menjelaskan selepas beberapa sesi soal jawab bersama pencarum yang tertekan dan terdesak, kami dapati hampir kesemua yang dimaksudkan bukanlah bergantung harap sepenuhnya pada wang KWSP, tetapi keadaan memaksa dan tiada pilihan lain.
“Pengeluaran secara bersasar adalah satu tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP kepada pencarum yang sangat terkesan dengan kos sara hidup.
“Pencarum memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dan kami berharap kerajaan dapat meluluskan (pengeluaran) dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 dibuka,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, akan bermula pada 19 Mac 2023 bagi negeri Kumpulan A manakala 20 Mac bagi negeri Kumpulan B.