Rafizi Ramli yang kehabisan modal politik mula membuat serangan murahan kepada musuh-musuh politik beliau.
Hal ini termasuklah tindakan Rafizi yang mempersoalkan apa yang telah Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang buat untuk rakyat miskin di Marang?
Baiklah, segala persoalan Rafizi telah ada tersedia di laman media sosial rasmi berkaitan ahli Parlimen Marang seperti laman Facebook Abdul Hadi Awang, Marang Sejahtera dan laman seperti Rhu Rendang Sejahtera.
Bagi membetulkan persepsi mengarut yang cuba ditimbulkan oleh Rafizi Ramli berikut adalah apa yang telah dilaksanakan oleh TGHH di parlimen Marang untuk rakyat miskin.
i) Bantuan Berkala
Bantuan kebajikan secara berkala sentiasa berjalan sepanjang tempoh pentadbiran TGHH sebagai ahli parlimen.
Terdapat bantuan yang diserahkan dan diuruskan secara terus menerusi Pusat Khidmat Parlimen Marang serta terdapat juga bantuan yang diselaraskan dengan DUN-DUN yang berada di bawah parlimen Marang seperti DUN Rhu Rendang, DUN Alur Limbat, DUN Pengkalan Berangan serta DUN Bukit Payong.
Perbincangan dan pemantauan secara berkala turut dilaksanakan antara pusat Khidmat Parlimen Marang bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri yang terlibat bagi memastikan kebajikan rakyat parlimen Marang terus terjaga.
Bantuan secara terus yang disalurkan daripada pejabat parlimen adalah berjumlah RM 6.1 juta lebih dengan RM 1.3 juta merupakan dalam bentuk bantuan kewangan dan material kepada kumpulan masyarakat yang memerlukan, RM 500 ribu untuk pendidikan serta RM 600 ribu untuk belia dan NGO.
ii) Projek Berimpak Tinggi
Rafizi Ramli perlu memahami demografi rakyat Marang yang sudah tentu tidak sama dengan rakyat Pandan. Inisiatif vending machine yang Rafizi bawa sudah tentu tidak begitu relevan di parlimen Marang yang didominasi kumpulan nelayan.
Data oleh Unit Perancang Ekonomi Terengganu pada 2017 menunjukkan Marang mempunyai jumlah nelayan kedua tertinggi selepas Kuala Terengganu berbanding daerah-daerah lain dengan jumlah pendaratan ikan hampir 3 juta tan metrik.
Bagi meningkatkan keupayaan ekonomi masyarakat Marang secara komprehensif menerusi konsep ‘beri joran bukan ikan’, TGHH telah membawa pulang dua projek berimpak tinggi di parlimen Marang.
Yang pertama sesuai untuk ekonomi rakyat Marang, projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang yang sedang berjalan dengan kos 30.5 juta. Projek yang telah bermula Disember 2021 ini bakal memanjangkan lagi pelayaran di muara sungai seterusnya dijangka menambahkan hasil industri perikanan tempatan.
Yang kedua, bagi meningkatkan hasil perikanan nelayan setempat, parlimen Marang dengan kerjasama kerajaan negeri telah melaksanakan projek labuhan tukun tiruan.
Yang ketiga, projek penaiktarafan jambatan Marang yang sekian lama menyebabkan kesesakan lalu lintas. Projek ini menelan kos 338.5 juta ringgit dan bakal memendekkan masa perjalanan rakyat Marang seterusnya meningkatkan lagi produktiviti rakyat setempat.
iii) Pembangunan Holistik
Dalam keadaan masalah sosial dan isu penyakit mental yang semakin membimbangkan, kebajikan rakyat tidak boleh ditafsirkan dalam skop materialistik yang sempit sahaja.
Kebajikan rakyat juga perlu merangkumi aspek spiritual dan rohani yang perlu diisi dengan program dan inisiatif yang mampan.
TGHH telah menyediakan platform kerohanian rakyat Marang yang cukup hebat menerusi konsistensi beliau dalam membawakan siri Kuliah Dhuha setiap pagi Jumaat yang pasti dibanjiri warga Marang bahkan seluruh pelusuk Terengganu.
Siri pengajian agama yang telah berjalan hampir 47 tahun lamanya ini memberikan satu sumber kekuatan spiritual dan mental yang berterusan kepada rakyat Marang agar terus mampu menjalani kehidupan dengan penuh kualiti dan kesejahteraan.
Cuba tanya ahli parlimen atau ahli politik di kawasan lain, mampukah mereka konsisten bertemu rakyat hampir setiap minggu memberikan syarahan ilmu yang berkualiti?
Menerusi sebahagian inisiatif-inisiatif yang telah disenaraikan ini, maka jelaslah bahawa serangan murahan Rafizi hanyalah satu bentuk peluru kosong yang berobjektif bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada realiti sebenar kegagalan kerajaan ‘madani’ dalam menunaikan janji dan formula mereka.
Rafizi yang telah 8 bulan lamanya menjawat jawatan sebagai Menteri Ekonomi terus dilihat terkapai-kapai dalam idea beliau yang nyata gagal mengurangkan beban kos ekonomi yang ditanggung rakyat.
Sekian
IRSYAD SYAFIQ BURHANUDDIN
Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu
8 Julai 2023