Kami, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengikuti peranan media bernama Malaysiakini sengaja menyiarkan berita yang mencabar agama Islam dan penganutnya yang setia, tanpa mempedulikan kedudukan agama Islam yang sangat mulia di sisi pengikutnya.
Kedudukan agama Islam sangat tinggi dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Peranan raja-raja dibebankan amanah menjaga agama Islam sangat besar. Perintah daripada Allah SWT yang mengatasi segala raja-raja, sehingga tiada kuasa yang lebih tinggi daripada-Nya.
Malaysiakini secara halus dan terbuka menentang dakwah dengan berbagai-bagai uslub (cara), serta membela orang Islam yang murtad yang dikira sebagai suatu jenayah besar dalam hukum Islam secara terbuka.
Hak beragama yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada penganut bukan Islam adalah berkonsepkan kebebasan agama yang terkawal, dan ia sepatutnya dihargai.
Kami menyeru kepada semua pihak supaya peka dan sedar dengan peranan Malaysiakini yang tidak harus dibiarkan, demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk yang telah terkawal supaya tidak memecahkan sempadan yang memeliharanya selama ini.
Umat Islam berkewajipan mempertahan kedudukan agamanya yang paling mulia dan tertinggi, bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang cuba mencabar kedudukannya dari segenap penjuru dunia, sama ada yang nyata atau bersembunyi.
MOHDA ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Umah (UMMAH)
16 Februari 2023