Perkongsian seorang pengguna Facebook, Zakaria Azizi dalam kumpulan Malay Dialects mengenai beberapa keping gambar tanda papan yang mengganakan Bahasa Melayu kembali tular di media sosial.
Ujarnya, Korea Selatan telah meletakkan beberapa bahasa pada papan tanda mereka iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Bahasa Indonesia dan Jepun bagi memudahkan pelancong asing berkunjung ke lokasi pilihan mereka.
“Jumlah pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang berkunjung ke Korea Selatan juga meningkat saban hari. Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda di sana amat diperlukan,” kongsinya.
Tambah Zakaria, meskipun terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat, usaha kerajaan Korea Selatan harus diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
“Malah, mereka juga gembira dapat melakukan usaha ini bagi membantu penduduk Asia Tenggara yang melancong ke sana dan memerlukan maklumat mengenai kemudahan awam mereka,” katanya.
Pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia yang telah menterjemah bahasa untuk papan-papan tanda tersebut dan usaha itu telah mula dilakukan sejak beberapa tahun lepas.
Untuk makluman, bahasa Melayu merupakan bahasa keenam paling banyak dituturkan di dunia dengan sebanyak 290 juta manusia merentasi Selat Melaka, termasuklah pantai-pantai di Semenanjung Malaysia dan pantai timur Sumatera.
Bahasa Melayu berada dalam keluarga Austronesia dan Malayo-Polynesia – bahasa utama di Malaysia, Brunei, Singapura dan salah satu bahasa di Indonesia.
Sumber: Sinar Harian