LGBT merupakan satu akronim yang merujuk kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual. Singkatan nama ini telah menjadi arus perdana dan diterima pakai oleh majoriti seksualiti dan pusat komuniti berasaskan identiti jantina di Amerika Syarikat dan di sesetengah negara lain.
Golongan LGBT adalah golongan yang menghadapi kekeliruan identiti. Kebanyakan golongan transeksual menganggap diri mereka terperangkap dalam fizikal jantina yang berlawanan dengan minda dan perasaan mereka.
Keyakinan tersebut mendorong segelintir daripada komuniti ini nekad melakukan pembedahan menukar jantina akibat terbelenggu dengan konflik diri untuk menerima jantina sendiri. LGBT juga boleh dikategorikan sebagai penyakit psikiatri atas faktor kecelaruan pemikiran yang dihadapi.
Pembedahan untuk menukar jantina sama ada daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya jelas bercanggah dengan hukum syarak. Perbuatan ini adalah haram kerana ia semata-mata mengikut hawa nafsu dan godaan syaitan, tidak mensyukuri nikmat kejadian diri dan mengubah kejadian Allah.
Daripada Jabir bin Abdillah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إنَّ أخوَفَ ما أخافُ على أمتي عملُ قومِ لوطٍ
“Sesungguhnya yang paling aku takut ditimpa kepada umatku amalan seperti kaum Lut.”
Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir menyebut: Umat Islam telah bersepakat bahawa perbuatan liwat termasuk dosa besar yang diharamkan oleh Allah S.W.T:
أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ ﴿١٦٥﴾ وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ
“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki di kalangan manusia. Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”
(al-Syu’ara: 165-166)
Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: Apakah kamu tetap melakukan perbuatan keji ini padahal tidak ada seorang pun yang pernah melakukannya; kamu membuat hubungan jenis sesama lelaki dengan meninggalkan isteri kamu yang dihalalkan oleh Allah S.W.T untuk membuat perhubungan dengan mereka?
Sesungguhnya kamu termasuk kaum yang melampaui batas, sama ada dari aspek logik dan hukum yang ditetapkan. Kamu melakukan perbuatan dosa itu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran seorang pun sebelum ini untuk berbuat demikian.
Syeikh Sya’rawi menyebut: “Perbuatan kaum Luth yang suka sesama jenis, lelaki dengan lelaki adalah tingkah laku yang menyeleweng, perbuatan yang keji dan kotor, melampaui batas, bercanggah dengan adab dan kebiasaan serta bertentangan dengan akal yang sihat. Hanya jiwa yang tidak normal dan sakit yang melakukan perkara tersebut.
Disebabkan tingkah laku mereka yang menyeleweng, kedudukan dan maruah mereka jatuh serendah-rendahnya, lebih rendah daripada haiwan. Haiwan jantan mendatangi haiwan betina tidak hanya untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja tetapi juga untuk menjaga keturunannya, manakala manusia yang suka sesama jenis hanya untuk memenuhi nafsu mereka semata-mata.
Selain melaknat hubungan sesama jantina, Islam juga melarang keras lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya (tasyabbuh). Hukum tasyabbuh adalah haram dan salah satu dosa besar kerana telah sabit nas-nas syar’ie melalui lisan Nabi S.A.W:
عن ابن عباس رضي الله عنهما: قال لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال.
“Daripada Ibn Abbas R.A berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaknat golongan lelaki yang menyerupai perempuan dan golongan perempuan yang menyerupai lelaki.”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Al-Imam al-San’ani mengatakan bahawa laknat Rasulullah S.A.W terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut. Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan sebaliknya.
Sayyid Sabiq telah menukilkan pendapat Dr. Muhammad Wasfi dalam kitabnya al-Islam wa al-Tibb yang menyebut bahawa Islam melarang keras perlakuan homoseksual yang mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan peribadi dan masyarakat, antara lain seorang gay tidak mempunyai keinginan terhadap wanita.
Jika mereka melangsungkan perkahwinan maka isterinya tidak akan mendapat kepuasan seksual biologi, kerana minat seksual suami yang cenderung kepada lelaki dan akibatnya hubungan suami isteri menjadi renggang tidak tumbuh cinta dan kasih sayang.
Di Malaysia, sebagaimana dilaporkan akhbar tempatan, data pada 2016 menunjukkan bahawa hubungan homoseksual direkodkan sebagai penyumbang utama bagi kes-kes jangkitan HIV terbaharu. Terdapat sejumlah 1,553 kes HIV baharu dalam kalangan homoseksual dan biseksual berbanding dengan 1,311 melibatkan heteroseksual.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 memutuskan bahawa seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syara’.
Semoga Allah memelihara kita khususnya umat Islam daripada ajaran songsang LGBT ini.
USTAZ KHIRUL MUNTANAZAR ISMAIL
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 14/12/2022