• Tue. Sep 26th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bajet 2023 bakal jadi penawar kepada rakyat – Tengku Zafrul

Oct 7, 2022
Spread the love

BAJET 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz diharapkan dapat menjadi penawar kepada rakyat.

Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 dijangka memberi masa hadapan yang lebih cerah kepada rakyat dan negara.

“Bajet 2023 ini diharap dapat menjadi penawar seterusnya kepada pelbagai keperihan yang dialami rakyat buat masa ini.

“Moga-moga ia dapat terus menyerlahkan jalan ke hari esok, di mana Insyallah, menanti masa depan yang lebih cerah,” ucapnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan tidak sesekali mengerti erti lelah, dan akan terus nekad untuk menjadi dahan teguh bagi pautan rakyat yang memerlukan meskipun bakal menghadapi cabaran faktor-faktor global luaran yang mula timbul.

“Kini sampailah kita di hujung pembentangan Bajet 2023 ini. Alhamdulillah, tugas ini sudah hampir usai, amanah yang digalas dekat terlaksana.

“Setahun dua yang lalu, negara diselubungi seribu kebimbangan dan ketidaktentuan. Kita telah menyaksikan pelbagai perit jerih demi kelangsungan rakyat dan peniaga.

“Hari ini, jalan raya kota kembali sesak dengan urusan warga kerja; anak-anak kembali girang berlari-lari di laman sekolah; di pintu-pintu sempadan kita, berpusu-pusu pelawat keluar dan masuk ke tanah air,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan pembentangan Bajet 2023, Tengku Zafrul menyeru semua Ahli Parlimen menyokong Bajet 2023.

“Kepada ahli-ahli Yang Berhormat, saya menyeru: marilah sama mendokong Bajet ini… di bawahnya berteduh impian… terpancar harapan… lebih 32 juta rakyat Malaysia… itulah natijahnya, kini lah momennya, ini lah Bajet 2023.

“Kepada-Mu Ya Allah, kami tawakal dan berdoa. Semoga Keluarga Malaysia, Makmur Bersama. Tan Sri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan,” katanya.