• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bajet 2023 mengecewakan, tak mampu selesaikan kos sara hidup – Cuepacs

Feb 24, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 baharu dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam ketika ini, kata Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), yang kecewa dengan pembentangan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim petang tadi.

Presiden Adnan Mat berkata pentadbiran Anwar tidak memberikan sebarang komitmen untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam, melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam.

Ini supaya ia lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup, tambahnya.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan, dan perumahan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kerajaan perlu memperhalusi semula permintaan penjawat awam yang berkaitan permasalahan kos sara hidup seperti mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan yang sehingga kini tiada sebarang perkembangan daripada kerajaan.

“Pengurangan cukai pendapatan golongan M40 sebenarnya tidak memberi impak besar kepada pendapatan boleh guna khususnya di kalangan penjawat awam. Ia tidak mampu menggambarkan situasi sebenar rakyat di luar sana.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem yang digunapakai selama ini sudah lama tidak dikaji sejak November 2002, yang dikatakan tidak bersesuaian dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem yang digunapakai selama ini sudah lama tidak dikaji sejak November 2002, yang dikatakan tidak bersesuaian dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kekecewaan mengenai hal-hal berkaitan pemilikan rumah di kalangan penjawat awam yang juga tidak diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023.

Katanya, kerajaan wajar memperkenalkan semula program perumahan mampu milik bagi penjawat awam sebagaimana yang dilaksanakan sebelum itu.

“Konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota ATM perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya. Akan tetapi, harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM700, ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.