• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bajet 2023: Ramai sedih beraya tanpa duit KWSP

Feb 25, 2023
Spread the love

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar masih diharapkan rakyat Malaysia sehingga kini disebabkan ramai yang terjejas pendapatan selain memerlukan wang bagi peruntukan pembukaan sekolah sesi baharu serta Hari Raya Aidilfitri.

Tanda pagar KWSP (#KWSP) menjadi sohor kini di platform tersebut meskipun tiada kelulusan pengeluaran diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Mana tidaknya, tahun lalu persiapan raya apabila masing-masing memperoleh manfaat pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sepanjang sebulan berpuasa pada tahun 2022, masyarakat keluar membeli-belah di bazar, ekspo raya dan pusat beli-belah sekali gus tunai dendam berbelanja besar, berbuka puasa selain bercuti dan balik kampung beraya.

Semuanya begitu gembira sambut Syawal 2022 kerana hasil i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas RM10,000 yang begitu mengujakan meskipun sedar mereka merisikokan simpanan hari tua.

Tahun ini, harapan disandarkan sekali lagi tetapi ketegasan Perdana Menteri tidak membenarkan lagi pengeluaran dana berkenaan membuatkan ramai yang kecewa, geram dan marah.

Kecewaan itu bukan dirasai golongan muda, tetapi mereka yang sudah matang dan berusia lebih 50 tahun, pastinya bersetuju kerana memikirkan kelangsungan hidup selepas mula bersara pada usia 60 tahun nanti.

Tidak dinafikan persediaan menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadan dalam tempoh sebulan lagi dan seterusnya Syawal yang semestinya bakal melibatkan transaksi wang ringgit untuk pelbagai perbelanjaan pastinya akan memberi tekanan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan memiliki kurang nilai simpanannya.

Alternatif terbaik adalah ukur badan di baju sendiri, berhemah dalam perbelanjaan kerana tanpa duit simpanan daripada KWSP atau sekadar berbelanja menggunakan duit gaji bulanan atau hasil berniaga atau simpanan.

Hari yang dinanti iaitu 1 Ramadan dan juga 1 Syawal akan tiba juga, raikan hari yang mulia itu kerana sebenarnya ia menuntut kita untuk terus bersyukur apabila masih dipanjangkan usia sehingga ke hari ini

Dalam pada itu, ramai yang faham tentang fungsi simpanan dalam KWSP. Nanum jika mereka tidak terdesak sudah tentu mereka tidak mahu menggunakan simpanan yang boleh memudahkan kehidupan selepas bersara.

Luahan betapa sukarnya melalui kehidupan ketika ini boleh disorot melalu laman Facebook ‘KWSP Pengeluaran RM10,000 One-Off’ dan ‘Pengeluaran KWSP 10K one off – luahan hati rakyat’.

Pengikut laman ini sangat berharap agar Kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan mereka untuk kelangsungan hidup hari ini.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kumpulan yang hilang pekerjaan, gaji dipotong, mendapat kerja baharu tetapi dengan gaji yang rendah berbanding pendapatan sebelum ini.

Ada peniaga yang memerlukan wang tersebut sebagai tambahan modal perniagaan. Ada yang memerlukan wang berkenaan bagi melunaskan hutang-hutang yang tertunggak.

“Saya pun sangat-sangat memerlukan duit. Masa PKP dua kali kena berhenti kerja. Sekarang kerja baru dapat gaji permulaan yang beza 70 peratus dari gaji dulu. Nak bayar kereta RM600, sewa bilik RM500, tol dan minyak RM300, hutang dengan member, duit mak abah. Tau-tau duit baki sebulan untuk makan cuma RM100 hidup di KL,” luah Mia Aulia.

“Baru dua bulan start balik bisnes, modal dah banyak keluar RM20,000. Covid lepas raya Cina, aduh. Takkan nak buat pinjaman lagi tambah hutang. RM10,000 one-off susah sangat ke nak luluskan. Makin susah hidup sekarang ini,” kata Mimi Rasaniyah.

Bagi mereka wang KWSP itu lebih bermakna untuk menyelamatkan kehidupan mereka yang sukar ketika ini berbanding simpanan hari tua yang entahkan panjang umur ataupun tidak.