• Wed. Nov 29th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Banjir: 44,860 mangsa di 260 PPS seluruh Johor

Mar 5, 2023
Spread the love

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan seramai 44,860 mangsa daripada 13,029 keluarga yang ditempatkan di 260 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding seramai 42,704 mangsa yang ditempatkan di 252 PPS, setakat pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, kesemua 10 daerah kembali terjejas akibat banjir disebabkan hujan berterusan yang telah memasuki hari keempat dengan Batu Pahat menempatkan paling ramai mangsa, 14,030 orang.

“Ini diikuti daerah Segamat dengan 13,334 mangsa, Kluang (5,296), Muar (4,055), Kota Tinggi (3,251);, Tangkak (3,007), Mersing (975), Johor Bahru (514), Pontian (335) dan Kulai (63).

“PPS yang sebelum ini telah ditutup di daerah Kulai telah dibuka semula apabila terdapat beberapa kawasan kembali dilanda banjir setelah hujan berterusan semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan beberapa daerah di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya, iaitu Segamat, Kluang dan Mersing manakala daerah lain menunjukkan tahap buruk.

Sebanyak 22 sungai di tujuh daerah telah diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok Sungai Kahang dan Sungai Johor,” katanya.

Sebanyak 53 laluan dan susur telah ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Felda Kemelah, Jalan Felda Pemanis, Jalan Johor Bahru-Endau, Jalan Masai Lama, Felda Medoi, Jalan Johor Bahru-Seremban, Jalan Senai-Gemas dan Jalan Muar-Tangkak. – UTUSAN