• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Banjir di beberapa kawasan Lembah Klang, Putrajaya

Nov 29, 2022
Spread the love

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang selepas hujan lebat selama beberapa jam pada petang ini.

Antara kawasan terjejas termasuk Kota Warisan dan Dengkil di Sepang, Selangor, dengan warganet memuat naik gambar dan video banjir mencecah paras lutut di beberapa kawasan ke media sosial.

Banjir kilat turut dilaporkan di beberapa presint di Putrajaya, dengan beberapa jalan dinaiki air berlumpur.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan 18 rumah di Meru, Klang dinaiki air akibat longkang tersumbat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke Taman Meru Jaya, Jalan Kassim di Meru kira-kira 1.45 tengah hari tadi. Paras air semakin surut ketika itu.

Katanya, tiada pemindahan dilakukan.

Sementara itu, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera membersihkan longkang tersumbat yang menyebabkan banjir di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.

Jabatan Meteorologi pada 2.45 petang tadi berkata, hujan lebat diramalkan di Lembah Klang, dengan cuara buruk berlarutan sehingga 6 petang ini.

Warganet @tuanpengurus di Kampung Cemperai, Dengkil memuat naik gambar rumahnya dinaiki air.

Ketika menjawab tweet Ahli Parlimen Sepang yang baharu, Aiman Athirah Sabu, pengguna Twitter itu berkata, ini kali ke-14 rumahnya dinaiki air dan keluarganya tiada masa mengemas selepas banjir minggu lalu.

Aiman berkata, pihak berkuasa sudah dimaklumkan selepas beliau diberitahu beberapa kawasan di Desa Timah Langat dan Kampung Amirudin turut terjejas.

“Saya baru selesai mesyuarat di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan ke sana. Warga Sepang boleh maklumkan kawasan mana lagi yang dinaiki air. Mohon semua ambil langkah berhati-hati.”