• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Baru tahu rupanya susah jadi Menteri

Jan 24, 2023
Spread the love

SEDAR tak sedar, sudah hampir dua bulan barisan menteri yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam tempoh ini sudah cukup untuk rakyat Malaysia menilai menteri mana yang bijak dan rasional dalam mencari penyelesaian terhadap segala isu berbangkit terutamanya melibatkan kebajikan rakyat.

Mereka tidak boleh sekadar memberikan penyelesaian sepintas lalu atau mengambil cara mudah untuk menunjukkan keprihatinan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, masalah kekurangan telur dan harganya yang melambung tinggi sejak sekian lama, tidak boleh diselesaikan dengan hanya mengimport bekalan itu dari negara luar.

Rakyat mahukan jalan penyelesaian secara tuntas dan lebih praktikal kerana isu ini sudah lama membelenggu kehidupan mereka.

Rakyat mahukan isu yang tidak dapat diselesaikan kerajaan terdahulu itu diuruskan dengan baik oleh kerajaan yang baharu.

Harapan rakyat amat tinggi agar isu kekurangan bekalan dan kenaikan mendadak harga telur tidak lagi membelenggu kehidupan seharian mereka.

Begitu juga dalam isu kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga barang di pasaran yang juga masih tiada penyelesaian tuntas.

Biarpun dua kementerian diwujudkan bagi menyelesaikan dua permasalahan berkenaan iaitu Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, namun sehingga hari ini, belum nampak solusi baharu kecuali bantuan khas untuk rakyat yang dijenamakan semula.

Rakyat tidak mahukan satu solusi jalan pintas terhadap kemelut yang melanda kehidupan mereka itu tapi mahukan satu tindakan yang nampak keberkesanan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Para menteri tak boleh memberikan solusi yang dilihat seperti tangkap muat tanpa pengukuhan daripada aspek tindakan secara praktikal.

Mungkin inilah satu pembelajaran baharu kepada menteri-menteri yang kebanyakannya tiada pengalaman sebagai wakil kerajaan.

Mungkin juga sekarang baru mereka tahu lebih mudah jadi pembangkang, berbanding bila duduk di kerusi kerajaan. Sinar