• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Beberapa individu dakwa dicaj RM350 untuk vaksin di Selangor?

Jun 28, 2021 , ,
Spread the love

Tular seorang individu berkongsi disuntik vaksinasi dengan kos RM350 yang dikenakan menerusi aplikasi SElangkah.

Kerajaan Negeri Selangor mendakwa bekalan vaksin tidak mencukupi seperti didakwa oleh seorang Exconya, Dr Siti Kamariah Mahmud, bagaimanapun kini timbul persoalan apabila tular dakwaan aktiviti menjual vaksin kepada pekerja dan majikan di negeri tersebut.

Sebelum ini, pentadbiran kerajaan PKR tersebut ada mengumumkan membuka pendaftaran kepada syarikat yang berminat untuk mendapatkan vaksin untuk pekerja mereka melalui aplikasi SElangkah.

Berlegar-legar dalam media sosial ketika ini apabila beberapa individu yang menerima vaksin dimohon menerusi aplikasi tersebut membayar sebanyak RM350 untuk mengambil suntikan vaksinasi.

Seorang individu memuat naik gambar atas platform Facebook menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikendalikan oleh SElangkah di Evomall, Bangi dengan status menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin menerusi aplikasi tersebut.

Untuk rekod, semakan dalam aplikasi SElangkah pada bahagian FAQ tidak menyatakan amaun atau caj yang dikenakan kepada individu mengambil vaksin dibawah program tersebut.

Persoalannya, wajarkah caj RM350 tersebut dikenakan kepada individu yang mengambil vaksin menerusi program tersebut? Apakah kriteria sesebuah syarikat yang mahu memohon untuk membeli vaksin tersebut? Berapakah kos asal yang dibeli daripada pengeluar vaksin dan wajarkah RM350 tersebut dikenakan kepada pekerja dalam syarikat tersebut?

Sekiranya caj setinggi itu, mungkin hanya kelompok kayangan sahaja yang mampu mendapatkan vaksin, bagaimana pula dengan rakyat biasa dan bawahan yang sekarang ini pun sudah terjejas punca pendapatan?

Berbeza dengan vaksinasi bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan kerajaan pusat, orang ramai menerima vaksin secara percuma tanpa sebarang caj dikenakan.

Selain itu, kerajaan juga tidak mengenakan sebarang caj kepada majikan yang memberi suntikan vaksin kepada pekerja mereka bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Pada 9 Jun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi memperoleh vaksin dalam usaha mencapai imuniti kelompok menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Menurut Amirudin, peruntukan itu adalah inisiatif kerajaan negeri menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP).

Agenda Daily masih cuba mendapatkan maklum balas Amirudin berhubung isu pembelian vaksin dan mendapatkan pengesahan berhubung perkongsian dalam Facebook caj RM350 yang dikenakan terhadap pekerja di Selangor.

Terdahulu hari ini, Siti Mariah membidas Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang semalam mendakwa Selangor berdepan masalah kapasiti vaksinasi, bukannya bekalan vaksin.

Siti Mariah menegaskan beberapa PPV di negeri itu mungkin terpaksa ditutup tidak lama lagi sekiranya Selangor tidak mendapat bekalan baru secepat mungkin.

“Nampak benar menteri tak tahu masalah di bawah. Selangor ada kapasiti untuk buat lebih. Kalau buat begitu, selepas beberapa hari, ada PPV yang kena tutup sementara.

“Jangan berbohong dengan mengatakan bahawa ada bekalan cukup. Berlaku jujur atau hidung anda akan jadi lebih panjang,” katanya dalam ciapan di Twitter yang turut menanda Khairy.

Bagaimanapun, Penasihat Khas (Sains) kepada Khairy, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam membidas Siti Mariah dengan memberitahu negeri Selangor kini mempunyai sekitar 339,000 dos vaksin Covid-19.

“Salam YB Siti Mariah, anda hanya perlu menghubungi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan bukannya membuat hantaran di media sosial.

“Dengan Selangor menggunakan 40,000 (dos) sehari, ia (bekalan) cukup untuk sekurang-kurangnya seminggu,” katanya dalam ciapan balas itu.

Dalam satu lagi kiriman untuk makluman Siti Mariah, Dr Mohd Ghows turut memuat naik carta pembekalan dan penghantaran vaksin ke beberapa PPV di seluruh Selangor bermula esok (28 Jun 2021).

Beberapa jam kemudian Naib Presiden AMANAH itu bertanya mengenai benar atau tidak jadual pembekalan itu, selain gagal mencarinya di dalam laman sesawang.

Agenda Daily