KUALA LUMPUR – Meminjam daripada bank dengan mencagar wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan langkah terbaik membantu rakyat dalam kesempitan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, rakyat yang dalam keadaan terdesak perlukan duit untuk meneruskan kehidupan dan melangsaikan hutang tertunggak sebaiknya dipermudahkan menggunakan simpanan sendiri.
“Bukan membebankan lagi rakyat dengan hutang baru dan menanggung komitmen membayar kadar faedah atau keuntungan kepada bank di kemudian hari pula.
“Ada yang mendakwa pencarum yang meminjam dengan bank boleh mengambil tempoh cagaran itu sebagai waktu untuk mereka bangun semula dan membina kewangan yang kukuh sedikit demi sedikit.
“Tempoh untuk bangun semula itu akan menjadi lebih sukar kerana terpaksa menanggung komitmen hutang yang baru,” katanya kepada media di sini hari ini.
Mohamed Sukri berkata, adalah lebih baik selepas dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP untuk melunaskan hutang sedia ada, tempoh setelah itu boleh digunakan bagi membina semula kewangan dengan mengganti simpanan yang telah dikeluarkan sedikit demi sedikit daripada berterusan membayar hutang.