Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa yang juga bekas Setiausaha Agung BN.
“BN adalah rakan akrab kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kita tidak akan menyaingi, menandingi atau menyertai pilihan raya Sarawak.
“Ini kerana kita sudah ada GPS yang kita tahu didukung kuat oleh rakyat Sarawak dan sebuah kerajaan yang sangat berprestasi tinggi. Jadi tidak ada sebab, walaupun ini agak aneh untuk pertama kali dalam sejarah pilihan raya sejak merdeka, BN tidak menyertai PRN,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.
Terdahulu dalam ucapannya, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, terdapat poster tersebar di laman sosial dengan mengaitkan beliau dan partinya (BN) akan bertanding pada PRN akan datang.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, politik “mengacau” tidak akan diterima rakyat dan ini sudah jelas dibuktikan dengan keputusan PRN Melaka baru-baru ini.
“Rakyat sekarang nak cari kestabilan politik dan nak tengok wakil rakyat memberi tumpuan kepada rakyat.
“Saya berani sebut terang-teranglah, BN tidak akan bertanding di Sarawak sebab kita menyokong GPS dari dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak sudah mempunyai formula (politiknya) yang baik, pimpinan baik, dan parti yang baik.
Justeru, katanya, BN akan memberi dukungan yang kuat kepada GPS kerana ia juga adalah sebahagian daripada kerajaan pusat yang memainkan peranan sangat penting dalam membangunkan negara.