• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Boleh guna kad kredit, debit di 5 highway mulai September

Mar 22, 2023
Spread the love

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa sistem kutipan tol baharu akan dilancarkan menjelang September membolehkan pengguna jalan raya membayar caj tol menggunakan kad debit dan kredit melalui pembayaran terbuka di lima lebuh raya.

Dalam satu kenyataan hari ini (21 Mac 2023), beliau berkata kementerian sedang berusaha untuk beralih kepada sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).

“Sejak awal tahun ini, saya telah mengarahkan perancangan dan perbincangan dengan pihak terbabit serta syarikat konsesi lebuh raya untuk mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem pembayaran terbuka. Saya juga turut serta dalam pelbagai perbincangan yang telah diadakan.

“Hasil perbincangan ini, saya sukacita dimaklumkan bahawa beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka menjelang September 2023.

“Lebuh raya yang dimaksudkan ialah Lebuhraya Sungai Besi; Lebuhraya Baru Pantai; Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur; Lebuhraya Koridor Guthrie; dan Jambatan Pulau Pinang.

“Melalui sistem pembayaran terbuka ini, pengguna boleh mula menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol ,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata MLFF dijangka dilaksanakan di seluruh negara pada 2025.

Menurutnya kajian mengenai penggunaannya juga akan dimulakan pada 2024 dan diunjurkan mengambil masa antara satu setengah hingga dua tahun untuk disiapkan.

Katanya pelaksanaan MLFF akan memberi impak positif kepada masalah kesesakan yang semakin teruk, terutama di plaza tol, apabila pemandu tidak perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan mereka untuk melakukan transaksi tol. AD