• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bukan gelombang hijau tetapi kemarahan rakyat – Muhyiddin

Sep 4, 2023
Spread the love

JOHOR BAHRU: Gelombang kebangkitan rakyat yang dibawa Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan gelombang hijau tetapi kemarahan hasil ketidakpuasan hati rakyat negara ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang itu terhasil ekoran kesedaran rakyat negara ini bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal membantu rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi.

“Ini bukan gelombang hijau tetapi gelombang kemarahan, rasa tidak puas hati kepada kerajaan hari ini. Buktinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri lalu, PN dapat 3.9 juta undi masyarakat daripada keseluruhan 9.7 juta yang boleh mengundi, dengan hanya 70 peratus daripada mereka keluar mengundi.

“Bukti lain adalah hanya selepas tiga tahun PN ditubuhkan dengan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan, kita telah jadi kuasa politik besar dalam negara dan tembusi sebahagian besar kawasan seluruh negara.

“Gelombang yang bermula sejak PRN lalu ini masih lagi berlarutan dan akan sampai ke Johor, ia akan masuk menerusi Muar dan gegarkan negeri ini yang dahulunya kubu kuat UMNO,” katanya pada Program Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Dr. Radzi Jidin serta calon PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Muhyiddin turut bertanya kepada hadirin apakah perkara yang telah dilakukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk meningkatkan ekonomi rakyat negara ini.

“Mereka dakwa saya gagal mentadbir, tetapi gagalkah saya, kalau gagal separuh dalam dewan ini sudah tiada rasanya. Saya bertanggungjawab laksana vaksin dan turut berikan bantuan tidak henti-henti sebanyak RM530 bilion yang disalurkan kepada rakyat.

“Sekarang ini, apakah bentuk bantuan yang telah dibawakan Anwar sebagai Perdana Menteri kepada rakyat? Ada ke, tiada. Soalan mudah tetapi tidak dapat dijawab, janji mereka minyak murah, hapus tol dan PTPTN satu tidak dilaksanakab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap sehingga 90 peratus pengundi Melayu di Parlimen Pulai akan keluar mengundi bagi membolehkan Zulkifli diangkat menjadi Ahli Parlimen kerusi berkenaan pada 9 September depan.

“Kita sudah tahu siapa pengundi bukan Melayu akan pilih, jadi saya harap pengundi Melayu akan keluar beramai-ramai untuk sokong calon kita, ini bukannya satu kenyataan rasis. Walaupun sebagai pembangkang, kita akan lakukan terbaik untuk angkat suara rakyat, kita akan bela mereka,” katanya. – UTUSAN