• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bukan pembelian panik, tapi panik tengok beras tak ada

Sep 20, 2023
Spread the love

KELMARIN, ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan bahawa kekurangan beras putih tempatan disebabkan rakyat membuat pembelian panik.

Melalui komen di media sosial, sebahagian besar netizen meluahkan rasa ‘bengang’ dan tidak bersetuju dengan kenyataan menteri itu.

Menurut mereka, dalam keadaan ekonomi meruncing, tiada siapa ‘teringin’ membeli beras secara pukal kerana semua orang mahu berjimat-cermat untuk dapatkan keperluan lain juga.

Mereka bukannya buat pembelian panik, sebaliknya panik tengok harga beras import melonjak mahal dan produk tempatan pula tiada di pasaran!

Malah lebih menyedihkan, ada dalam kalangan golongan B40 yang mempunyai ahli keluarga ramai terpaksa mengikat perut dan mencatu nasi disebabkan situasi ini.

Sungguh tidak patut, di saat rakyat ternanti-nanti kerajaan memberi jalan penyelesaian, sesetengah pemimpin langsung tidak sensitif dan menuding jari seolah-olah rakyatlah yang menjadi punca.

Ketiadaan beras tempatan di pasaran bukan isu baharu, malah telah dikesan sejak beberapa bulan lalu disebabkan kenaikan harga beras putih import di seluruh negara hasil penyelarasan harga oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Disebabkan itu, pengguna beralih kepada beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit 10 kilogram.

Namun persoalannya sekarang, ke mana ‘ghaibnya’ beras tempatan ini di pasaran?

Walaupun Mohamad memaklumkan jumlah keperluan beras negara masih lagi cukup sampai empat hingga lima bulan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) juga kini sedang menuai padi sehingga lebih 20 peratus, namun ia belum cukup untuk meyakinkan pengguna.

Mungkin sudah tiba masa kerajaan kaji harga beras import dan pastikan ia tidak terlalu tinggi sehingga menyukarkan rakyat mendapatkan bekalan.Apatah lagi beras adalah barangan terkawal dan seharusnya kerajaan cari jalan untuk ‘mengawal’ harganya.

Untuk beras tempatan pula, kerajaan perlu pantau kilang-kilang besar yang cuba memonopoli industri itu demi mendapatkan keuntungan berganda.