• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bursa Malaysia berdepan sentimen kurang memberangsangkan

Feb 19, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan dengan sentimen pasaran dipengaruhi oleh perkembangan dalaman dan luaran yang kurang memberangsangkan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus bergerak seiring dengan prestasi bursa serantau dan Wall Street, yang dijangka mencatatkan pembetulan menurun.

“Indeks itu dijangka menguji di bawah paras 1,465 manakala paras ketahanan adalah pada 1,480, tetapi ia benar-benar bergantung kepada data ekonomi Amerika Syarikat (AS), yang akan menentukan setinggi mana hasil AS meningkat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, seorang lagi peniaga percaya sentimen berhati-hati pasaran global mungkin mengehadkan momentum belian di bursa tempatan minggu depan.

Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu sepanjang minggu yang baru berakhir ini sejajar dengan sentimen di pasaran serantau, apabila para pelabur bimbang dengan laporan inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Bagi minggu ini, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Januari 2023 menunjukkan inflasi mereda kepada 6.4 tahun ke tahun tetapi tinggi sedikit berbanding unjuran ahli ekonomi pada 6.2 peratus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 2.31 mata untuk ditutup kepada 1,476.90.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 2.12 mata kepada 10,742.16, Indeks FBMT 100 meningkat 4.51 mata kepada 10,742.16, Indeks FBM Emas Shariah menokok 56.07 mata kepada 11,102.48.

Indeks FBM 70 susut 44.55 mata kepada 13,525.43 dan Indeks FBM ACE turun 84.34 mata kepada 5,659.66.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 48.97 mata kepada 6,837.68, Indeks Tenaga susut 12.53 mata kepada 883.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 77.15 mata kepada 16,036.22, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.37 mata kepada 190.52.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.22 bilion unit bernilai RM10.88 bilion berbanding 16.84 bilion unit bernilai RM10.22 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik sedikit kepada 11.54 bilion saham bernilai RM8.79 bllion daripada 11.26 bilion saham bernilai RM8.53 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.93 bilion unit bernilai RM265.51 juta daripada 1.40 bilion unit bernilai RM183.89 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 4.74 bilion saham bernilai RM1.82 bilion daripada 4.17 bilion saham bernilai RM1.52 bilion sebelumnya.

-BERNAMA