• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Bursa Malaysia dijangka kekal sendu

Mar 27, 2023
Spread the love

PASARAN Bursa Malaysia dijangka kekal suram sehingga hujung bulan ini berikutan krisis bank termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank (SVB) dan Credit Suisse baru-baru ini.

Perkembangan tersebut mendorong pelabur untuk lebih berhati-hati untuk membuat pelaburan dalam saham-saham terpilih kerana bimbang akan berdepan dengan kerugian akibat ketidaktentuan pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, dagangan saham di Bursa Malaysia secara tidak langsung pasaran saham di luar negara terma­suk Amerika Syarikat (AS).

Katanya, jika ketidaktentuan pasaran berlaku di AS yang kini berdepan dengan krisis kejatuhan bank, ia akan memberi kesan kepada pasaran tempatan.

“Walau bagaimanapun, saya berharap pasaran tempatan mampu bertahan, disokong oleh langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Langkah-langkah yang dilakukan oleh beliau seperti mengambil tindakan terhadap salah laku seperti rasuah dijangka dapat meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap negara.

“Ini secara tidak langsung, dapat menarik dan membina keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menjangkakan ringgit akan kekal stabil antara RM4.2 hingga RM4.5 berbanding dolar AS pada minggu ini.

“Saya tak nampak ringgit akan turun lagi dan akan kekal stabil stabil buat masa ini. Ini kerana ekonomi yang stabil dengan kawalan harga barang oleh kerajaan dapat membantu negara berbanding inflasi yang teruk seperti di United Kingdom (UK),” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, krisis bank di AS sedikit sebanyak telah mempengaruhi sentimen pasaran terbuka Malaysia.

Namun begitu, beliau berkata, kesannya adalah minimum dengan indeks KLCI yang mengalami kesan turun naik tidak menentu sepanjang dua minggu ini.

“Sentimen penurunan indeks in sebaliknya tidak mempengaruhi nilai ­ringgit yang menunjukkan trend peningkatan daripada RM4.52 pada 12 Mac dua hari setelah penutupan SVB kepada RM4.42 pada 23 Mac.

“Indeks KLCI pula dijangka menurun sedikit pada minggu ini daripada 1,407.57 mata kepada 1405.56 disebabkan kejatuhan kaunter bank-bank terkemuka,” jelasnya. – RINGGIT